Anda di sini

JKPWAS perlu dipilih dalam kalangan dwipartisan

Advertisement
JUSTIN
JUSTIN

TAWAU: Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS) perlu dipilih dalam kalangan dwipartisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengelak pertikaian dan keraguan pihak lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung Justin Wong Yung Bin berkata pemilihan itu perlu bersikap tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak supaya ia dijalankan dengan telus.

“Kita tidak mahu Program Khas Pendataan Pekerja Asing yang bakal dilaksanakan akan terbantut kerana terdapatnya pertikaian dalam kalangan ahli politik.

“Saya akan menyokong selagi program ini dilaksanakan dengan betul dan adil kerana ia adalah satu usaha yang mampu menangani isu pekerja asing di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Justin berkata, sebenarnya, program mengumpul data pekerja warga asing ini hampir sama dengan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh Parti Warisan semasa memerintah.

“Tujuannya adalah untuk membolehkan pekerja asing di Sabah mempunyai status kerja yang sah, bukannya kerakyatan, namun perancangan itu tidak dapat dilaksanakan.

“Isu pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dipolitikkan kerana ia akan membantutkan proses penyelesaian masalah,” katanya.

Menurutnya, isu lambakan pekerja asing yang tinggal di kawasan penempatan setinggan juga telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, malah banyak merugikan kerajaan.

“Perbuatan mencuri bekalan air dan elektrik sudah semakin berleluasa, malah ia sukar dibendung kerana keberadaan mereka terlalu ramai.

“Sekiranya pekerja asing berkenaan mempunyai status pekerjaan yang sah, masalah itu tidak timbul kerana mereka boleh memohon kemudahan asas secara sah,” katanya.

Justeru, katanya, sekiranya kerajaan negeri ikhlas dan bertekad untuk mencari jalan penyelesaian masalah PTI ini, mereka perlu melibatkan semua wakil ADUN dalam jawatankuasa tersebut.

“Penglibatan semua wakil ADUN membolehkan setiap penggubal undang-undang negeri termasuk anak syarikat yang mengendali pengurusan program tersebut dapat menjalankan tugas dengan lebih holistik dan seimbang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement