Anda di sini

Mahkamah Rayuan putuskan lelaki kelahiran Sabah rakyat Malaysia

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa seorang pemuda berusia 27 tahun yang dilahirkan di Sabah berbapakan rakyat Sarawak dan ibunya dipercayai berasal dari Indonesia, adalah warganegara Malaysia.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata Wong Kueng Hui telah memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan (FC) dibaca bersama Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua FC, diberikan status kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.

Dalam menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, hakim itu berkata Mahkamah Tinggi adalah betul apabila memutuskan pada 2019 bahawa Wong berhak di bawah undang-undang untuk menjadi rakyat Malaysia.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Datuk M. Gunalan manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi menentang.

“Selepas meneliti rekod rayuan, kami mendapati tidak ada kesilapan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi. Bukti yang tidak dapat dipertikaikan menunjukkan Wong lahir di Hospital Keningau, hasil perkahwinan antara bapa kandungnya yang merupakan rakyat Malaysia dan ibu yang status kerakyatannya tidak diketahui,” kata Hakim Che Mohd Ruzima.

Beliau berkata penghakiman majoriti bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa responden (Wong) telah melakukan apa yang mungkin untuk menentukan status kewarganegaraan ibunya.

Sementara itu dalam penghakiman menentang, Hakim Azizah berkata ibu kandung Wong meninggal dunia ketika umurnya 17 tahun dan adalah tidak benar apabila responden tidak mempunyai pengetahuan mengenai ibu kandungnya.

“Responden sebenarnya telah membuat pertanyaan dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia. Jadi responden mengetahui ibunya berasal dari Indonesia. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa terbukti responden (Wong) tidak bernegara. Saya dengan itu membenarkan rayuan kerajaan tanpa perintah mengenai kos,” katanya.

Wong yang dilahirkan pada 2 Jan 1995, menghadiri prosiding secara maya itu bersama peguamnya Mohd Haijan Omar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Izhanudin Alias mewakili kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Menteri Dalam Negeri selaku perayu.

Mahkamah Tinggi pada 21 Okt 2019 mengiktiraf Wong yang dilahirkan di Malaysia sebagai individu tanpa negara, mengisytiharkannya sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan - peruntukan iaitu mereka yang dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain berhak di bawah undang-undang untuk kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan juga mengarahkan Ketua Pengarah JPN supaya mengeluarkan sijil kewarganegaraan atau kad pengenalan kepada Wong.

Namun, Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia pada 31 Okt 2019 telah mengemukakan rayuan dan telah mendapat penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Bapa Wong meninggal ketika dia berusia 10 tahun, sementara ibunya yang bukan warganegara Malaysia meninggal ketika berusia 17 tahun.

Wong sebelum ini pernah memohon dua kali di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, tetapi kedua-dua permohonan itu ditolak.

Wong kemudian mengemukakan tuntutan melalui semakan kehakiman pada 20 Jun 2019 untuk mendapatkan beberapa perintah mahkamah, termasuk untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. - Bernama

Advertisement