Anda di sini

Hujan lebat akibatkan banjir di kawasan rendah di Limbang

Advertisement
 Anggota APM sedang memantau keadaan banjir yang masih melanda Kampung Menuang pagi ini.
BANJIR: Anggota APM sedang memantau keadaan banjir yang masih melanda Kampung Menuang pagi ini.

MIRI: Keadaan hujan lebat yang turun berkala di Limbang petang semalam telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di bahagian itu dinaiki air.
    
Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik berkata berikutan itu, paras air di Kampung Bunga Raya naik setinggi 0.3 meter setakat 7.45 malam semalam (Selasa).
    
Sementara di Kampung Bangkita, paras air berada pada paras 0.6 meter setakat jam 8.23 malam.
    
"Hujan lebat yang turun secara berkala selama beberapa jam sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah dan yang mengalami masalah perparitan dinaiki air.
    
"Anggota APM telah digerakkan ke beberapa kawasan terjejas bagi memantau keadaan banjir dan kenaikkan paras air dengan teliti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
    
Menurut Johari, berikutan paras air banjir di Kampung Bunga Raya yang naik sedalam satu kaki atau 0.3 meter menyebabkan jalan kampung berkenaan tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil.
    
Manakala sebuah kenderaan van yang terperangkap di kawasan banjir itu telah berjaya dikeluarkan.
    
"Sementara itu, paras air di Kampung Bangkita yang meningkat setinggi dua kaki atau 0.6 meter telah menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air," ujar beliau lanjut.
    
Selain itu katanya, beberapa kawasan kediaman di Taman Cahaya dan Kampung Nauran turut dilaporkan dinaiki air setinggi dua kaki pada petang semalam.
    
Namun begitu menurut Johari, sehingga jam 11 pagi ini, keadaan banjir di bahagian Limbang telah beransur pulih kecuali beberapa kawasan seperti Kampung Menuang, Kampung Ukong, Kampung Mendait dan Kampung Bidang yang masih dilanda banjir namun keadaan kini terkawal.
    
Sehubungan itu menurut beliau, belum ada keperluan untuk mewujudkan Pusat Pemindahan Sementera (PPS) memandangkan paras air di semua kawasan terjejas sudah mulai surut.
    
Dalam para itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan lebat akan berlaku di beberapa kawasan di daerah itu dengan suhu sepanjang hari dijangka antara 24 dan 34 darjah Celsius.
 

  • oleh
  • Advertisement