Anda di sini

Tiga ditikam di luar Universiti Tokyo

Advertisement
 Pegawai polis melakukan siasatan di hapadan pintu masuk Universiti Tokyo selepas dua orang pelajar dan warga emas maut ditikam, di Tokyo, kelmarin. — Gambar AFP
SIASATAN: Pegawai polis melakukan siasatan di hapadan pintu masuk Universiti Tokyo selepas dua orang pelajar dan warga emas maut ditikam, di Tokyo, kelmarin. — Gambar AFP

TOKYO, Jepun: Tiga orang ditikam di luar Universiti Tokyo yang berprestij sebelum peperiksaan kemasukan kolej di seluruh negara pada Sabtu, dengan pihak polis menyatakan mereka telah menangkap seorang pelajar sekolah tinggi kerana dikatakan melakukan serangan.

Mangsa-mangsa termasuk seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, perempuan berusia 17 tahun dan seorang lelaki berusia 72 tahun, kata pihak polis.

“Kami telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun kerana dikatakan menetak belakang (tiga orang) dengan niat untuk membunuh,” seorang jurucakap polis Tokyo memberitahu AFP.

Pelajar itu ditahan oleh polis di pintu pagar Universiti Tokyo selepas serangan awal pagi, tambah mereka.

Dia tidak mengambil peperiksaan dan tiada hubungan dengan tiga mangsa, namun memberitahu polis dia “ingin mati selepas menyebabkan satu insiden kerana saya tidak pandai dalam pelajaran saya,” badan penyiaran awam NHK melaporkan.

Dua orang remaja tidak mengalami kecederaan yang membahayakan nyawa namun lelaki berusia 72 tahun itu mengalami kecederaan teruk, menurut kepada media  tempatan.

NHK menyatakan universiti, di mana 3,700 orang pelajar telah dijadualkan akan mengambil peperiksaan, meneruskan dengan peperiksaan seperti yang dirancangkan.

Jenayah kejam adalah jarang berlaku namun kejadian tikaman kerap berlaku di Jepun, di mana pemilikan senjata adalah sangat terkawal.

Seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditangkap di Tokyo ketika Halloween tahun lepas bagi cubaan membunuh selepas dia dikatakan menikam seorang penumpang dan memulakan satu kebakaran di dalam sebuah kereta api bergerak ketika memakai satu pakaian yang menyerupai penjahat komik, Joker. – AFP

Advertisement