Anda di sini

Penganggur miliki 169.60 gram dadah jenis syabu dihukum gantung

Advertisement
 Matin diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
PADAH: Matin diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU : Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine tiga tahun lalu, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Lim Hock Leng menjatuhi hukuman itu ke atas Matin Sahid,34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Matin didakwa memiliki dadah seberat 169.60 gram methamphetamine di Kampung Mangga Kalabakan pada jam 1 petang, 17 Oktober 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersendirian sedang leka membungkus dadah jenis syabu semasa serbuan dibuat oleh pasukan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mangga Kalabakan.

Menyedari kehadiran polis, tertuduh bertindak melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun tertuduh berjaya ditahan.

Dalam serbuan tersebut, polis menemukan sebanyak 169.60 gram dadah jenis Syabu, alat penimbang digital, straw yang diubah suai dan plastik pembungkus lutsinar.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada tiga anak itu, hanya menundukkan wajah dan diam sambil menitiskan air mata di kandang tertuduh ketika keputusan dibacakan.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, manakala Matin diwakili peguambela Muhammad Karim.

Pihak pendakwa memanggil tiga orang saksi pendakwaan, manakala pihak pembelaan hanya menampilkan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

  • oleh
  • Advertisement