Anda di sini

Pasangan kekasih, rakan aktif edar ganja ditahan

Advertisement
 Zaidi menunjukkan rampasan ganja yang diperoleh dalam beberapa siri serbuan sekitar sini.
RAMPAS: Zaidi menunjukkan rampasan ganja yang diperoleh dalam beberapa siri serbuan sekitar sini.
 Bekalan ganja yang dirampas daripada suspek.
GANJA: Bekalan ganja yang dirampas daripada suspek.

KOTA KINABALU: Kegiatan pasangan kekasih serta dua lagi rakan yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran ganja menggunakan perkhidmatan kurier berjaya dikesan sebelum ditahan pihak polis dalam beberapa siri serbuan sekitar sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata bertindak dengan maklumat risikan, sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan serbuan sebelum menahan suspek pertama di sebuah taman perumahan di Jalan Lintas.

“Semasa ditahan pada jam 6 petang itu, polis turut merampas 68.31 gram ganja yang dibawa oleh suspek berumur 23 tahun terbabit.

“Hasil soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa kepada tangkapan kedua membabitkan lelaki berumur 28 tahun bersama 39.55 gram ganja di sebuah apartment di Lido,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd Zaidi berkata pihaknya kemudian berjaya menahan dua lagi individu yang juga pasangan kekasih masing-masing berumur 29 dan 30 tahun di sebuah lagi apartment di Jalan Lintas Kepayan di sini.

Tambahnya serbuan di dalam rumah itu turut merampas 211.60 gram ganja yang disembunyikan di dalam beg milik suspek.

“Hasil siasatan lanjut mendedahkan kesemua suspek adalah warga tempatan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap dan mereka memperoleh bekalan ganja dari Kuala Lumpur.

“Suspek memilih kawasan rumah yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan serta pembungkusan bekalan ganja dalam pek yang lebih kecil untuk dijual di sekitar Penampang serta ibu negeri bagi mendapat keuntungan berlipat ganda.

“Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan perkhidmatan kurier sebagai medium pengedaran dengan menghantar bekalan ganja bersama barangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata kesemua 319.24 gram ganja bernilai RM800 berupaya memenuhi permintaan hampir 355 penagih.

Kesemua suspek termasuk tiga positif tetrahydrocannabinols (THC) direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • oleh
  • Advertisement