Anda di sini

Kemenangan Baru Bian cerminan kebangkitan politik Lun Bawang

Advertisement
 

LAWAS: Kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan Baru Bian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) bukti cerminan kebangkitan politik masyarakat Lun Bawang sejak sedekad yang lalu. 

Baru dalam kenyataan medianya berkata mereka kini sudah matang dari segi politik dan tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik lama bahawa hanya Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang boleh membawa pembangunan untuk rakyat. 

"Dengan kematangan ini, Lun Bawang memahami bahawa ada perkara yang lebih penting daripada projek dan pembangunan, perkara seperti hak mereka iaitu hak tanah, hak agama, hak generasi muda untuk pendidikan yang baik dan pekerjaan yang bermakna untuk masa depan yang lebih baik.

"Saya amat berbangga dengan rakyat saya dan amat berterima kasih kepada mereka kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk satu penggal lagi," katanya. 

Dalam pada itu, Baru menyifatkan keputusan PRN12 di Ba'Kelalan kali ini sungguh menakjubkan. 

"Walaupun peratusan keluar mengundi rendah, majoriti kemenangan saya meningkat daripada 538 semasa pilihan raya 2016 kepada 680 kali ini. 

"Saya berterima kasih kepada mereka yang mengundi saya dan berasa rendah diri dengan keyakinan mereka terhadap kepimpinan saya untuk mewakili mereka di DUN (Dewan Undangan Negeri) buat kali ketiga walaupun saya bertanding sebagai calon pembangkang sekali lagi," ujarnya. 

Dalam kenyataan sama, Baru turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada semua petugas parti, keluarga dan pucuk pimpinan parti atas keyakinan dan sokongan kali ini bagi mempertahankan kerusi Ba'Kelalan. 

  • oleh
  • Advertisement