Anda di sini

Wong: Beri sokongan padu kepada PSB bagi realisasikan Ketua Menteri Dayak

Advertisement
Wong (dua kanan) pada sidang media di Pejabat PSB Bawang Assan. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Low, Hie Ping dan Ting.
Wong (dua kanan) pada sidang media di Pejabat PSB Bawang Assan. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Low, Hie Ping dan Ting.

SIBU: Masyarakat Dayak diseru memberi sokongan padu kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 18 Disember ini bagi merealisasikan impian masyarakat Dayak untuk menjadi Ketua Menteri.

Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sudah 51 tahun portfolio Ketua Menteri diterajui oleh kaum lain selepas Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

“Selama 51 tahun Sarawak tidak lagi ada Ketua Menteri Dayak. Sudah tiba masanya Dayak harus keluar dan memberikan sokongan padu kepada PSB.
 
“Ingin saya ulangi, jika PSB mendapat sokongan padu daripada masyarakat Dayak, melantik Ketua Menteri dari kalangan Dayak adalah satu kemestian dan realiti. Jika kita mahukan Ketua Menteri Dayak, masyarakat Dayak mesti menyokong penuh PSB.

"Sekiranya kita menerima sokongan padu daripada masyarakat Dayak, jelas sekali Dayak akan menjadi Ketua Menteri Sarawak," ujar Wong pada sidang media di Pejabat PSB Bawang Assan hari ini.

Menurut Wong, Ketua Menteri Dayak pertama ialah Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang menjadi ketua menteri sehingga bulan Julai 1963, sebelum diganti oleh Tawi Sli dan Tun Abdul Rahman Yakub.

Sebagai parti berbilang kaum dan bebas katanya, PSB akan membuat keputusan secara kolektif bersama-sama.

“Seperti yang dapat dilihat dalam manifesto, kita menyebut seorang Ketua Menteri dan empat Timbalan Ketua Menteri, mewakili setiap kumpulan etnik. Dalam erti kata lain, jika Ketua Menteri adalah Dayak, maka semua kumpulan etnik lain akan diwakili sebagai Timbalan Ketua Menteri.

“Mengapa empat Timbalan Ketua Menteri, satu Timbalan Ketua Menteri Cina, Melayu/Melanau, Dayak dan kumpulan minoriti," jelasnya.

Beliau yang bertanding di DUN Bawang Assan menegaskan, PSB hanya akan mengumumkan siapa Ketua Menteri sekiranya berjaya membentuk kerajaan baharu selepas selesai Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Wong berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chong Chieng Jen bahawa PSB masih belum menamakan Ketua Menteri mereka, walaupun parti itu mahu menjadi kerajaan alternatif kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Jawapan saya untuk perkara ini agak mudah – kita perlu menunggu sehingga pilihan raya tamat dan kita akan memilih antara kita sendiri. Dengan kata lain, semua wakil rakyat boleh menjadi Ketua Menteri.

“Kita perlu memilih seorang yang berkualiti, berkebolehan, berintegriti dan amanah serta boleh menjalankan tugas tanpa rasa takut dan berjiwa rakyat. Bagaimana jika saya menamakan seorang calon sekarang, namun tidak dipilih semasa pilihan raya negeri. Ini adalah satu perbuatan yang sia-sia.

“Jadi, kita kena tunggu sehingga pilihan raya selesai, dan pilih wakil rakyat yang paling sesuai menjadi Ketua Menteri. Jika kita mahukan Ketua Menteri Dayak, kita semua mesti mengundi PSB. Semudah itu."

Justeru itu, Wong juga mahu melihat kehadiran penuh pengundi Cina, khususnya di kawasan bandar untuk menyokong PSB, bagi membolehkan PSB membentuk kerajaan seterusnya bersama-sama masyarakat Melayu/Melanau dan Dayak.

“Setiap komuniti akan diwakili dalam Kabinet dan saya juga mahu melihat setiap bandar atau bandar raya diwakili dalam kabinet,” katanya.

Hadir sama pada sidang media ialah calon PSB Dudong Wong Hie Ping, Dr Low Chong Nguan (Pelawan) dan Andrew Ting (Bukit Assek).

  • oleh
  • Advertisement