Anda di sini

PRN Sarawak: Pengundi digalak keluar mengundi ikut masa dicadangkan

Advertisement
 

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi keluar mengundi mengikut masa dicadangkan pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada Sabtu ini.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya hari ini, berkata seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar di Sarawak layak mengundi manakala 20,360 merupakan pengundi awal dan 17,885 lagi mengundi secara pos.

"SPR melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa dicadangkan.

"Jika pengundi tidak hadir pada masa dikeluarkan pada masa mengundi digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing," katanya.

Namun demikian, Ikmalrudin berkata pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti.

Beliau berkata bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan. 

Para pengundi juga katanya, disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui saluran-saluran berikut: Portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi, katanya.

"Selain itu, pengundi juga dinasihatkan menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing. 

"SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada hari Sabtu ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement