Anda di sini

PPM rampas rokok seludup bernilai lebih RM400,000

Advertisement
 Rokok seludup yang berjaya dirampas dibawa ke markas PPM Sandakan.
RAMPASAN: Rokok seludup yang berjaya dirampas dibawa ke markas PPM Sandakan.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM400,000 hasil dua serbuan di sebuah rumah di kawasan bandar, di sini kelmarin.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan, DSP Rusdin Banin berkata rampasan itu hasil daripadan maklumat awam dan risikan anggota PPM.

“Anggota PPM bertindak membuat serbuan ke atas kedua-dua rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemukan pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM434,207.40 termasuk cukai disyaki diseludup dari negara jiran.

“Bagaimanapun, rumah berkenaan tidak berpenghuni dan dipercayai hanya digunakan sebagai stor sementara,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Katanya, kesemua rokok tersebut dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Rusdin berkata PPM menggalakkan masyarakat di persisir pantai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat aktiviti jenayah di kawasan mereka.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp PPM Wilayah 4 Sabah di nombor 0139391197 atau berhubung terus ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement