Anda di sini

Status RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis dijangka dibangkitkan hari ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai status Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi soal jawab.

Turut dijangka menjadi tumpuan, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) bertanya kepada Menteri Kesihatan berhubung langkah untuk memastikan bekas pesakit positif COVID-19 yang mengalami 'long COVID' mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara.

Lukanisman juga ingin tahu sama ada Kementerian Kesihatan mempunyai data mengenai jumlah 'long COVID' melebihi 12 minggu setakat Oktober lepas.

Sebelum kedua-dua soalan berkenaan dikemukakan, Menteri Perpaduan Negara turut dijadual menjawab pertanyaan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) yang ingin tahu komitmen kementerian itu terhadap pembangunan generasi anak muda India di Parlimen Bukit Gantang di bawah seliaan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Selain itu, Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengajukan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai atlet yang mewakili negara pada pertandingan sukan luar negara sama ada mereka mendapat gaji atau elaun atau imbuhan yang sama di antara lelaki dan wanita.

Fuziah juga meminta penjelasan berhubung jumlah yang diterima mengikut jantina dan kategori sukan yang dipertandingkan.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. - Bernama 

Advertisement