Anda di sini

ESSCOM berjaya tumpaskan 41 kumpulan Abu Sayyaf

Advertisement
 Ahmad Fuad memeriksa perbarisan pasukan keselamatan semasa majlis tersebut.
PERBARISAN: Ahmad Fuad memeriksa perbarisan pasukan keselamatan semasa majlis tersebut.

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menumpaskan sebanyak 41 kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang aktif melakukan jenayah di Sabah sejak tahun 2013.

Kumpulan itu disyaki terlibat dengan kes-kes penculikan untuk wang tebusan (KFRG) dan aktiviti militan yang pernah berlaku terutamanya di kawasan pantai timur Sabah.   

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kejayaan itu adalah hasil tindakan pantas perisikan ESSCOM yang melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Perisikan ESSCOM juga telah melakukan intelligence exchange bersama Joint Task Force Sulu (JTFS) dan pasukan tentera Western Mindanao Command (Westmincom) bagi melumpuhkan kumpulan itu.

“Kita telah menumpaskan dua kumpulan iaitu Clan Hatib Munap Binda dan Clan Jemaah Group pimpinan Ustaz Mamay Aburi di Sabah dan selebihnya kumpulan itu ditumpaskan di Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis perbarisan perpisahan sempena persaraannya, di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh tahun 2020 hingga 2021 sebanyak tiga operasi besar domestik telah dilaksanakan dan dua di negara jiran bersama JTFS bagi menangani aktiviti ASG/KFRG dan penyeludupan dadah.

“Kita telah meneutralized seramai sembilan sasaran utama aktiviti ASG/KFRG  di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) sekali gus mengekalkan sifar penculikan.

“Sepanjang saya menerajui ESSCOM, tidak pernah berlaku kes penculikan dan ini adalah hasil kerjasama semua pasukan keselamatan serta perisikan dengan pihak keselamatan Filipina dan Indonesia,” katanya.

Ahmad Fuad yang telah berkhidmat selama hampir 40 tahun dalam pasukan keselamatan turut memberi penekanan supaya perisikan tetap diteruskan walaupun dengan kekangan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata ESSCOM sudah merancang beberapa perkara bagi memperkasakan keselamatan di ESSZONE.

“Antaranya, cadangan untuk menempatkan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di populated area sebagai pondok polis kecil untuk tugas policing serta first responder.

“Selain itu, mewujudkan Forward Operation Base Pasukan Gerakan Udara (PGU) di Tawau bagi menempatkan aset dan maintenance bagi jangka panjang,” katanya.

Beliau yang akan bersara pada 11 Disember ini turut mengingatkan agar pasukan keselamatan tidak menjadi tali barut kepada sidiket jenayah rentas sempadan.

“Syabas dan tahniah kepada semua pasukan perisikan dan pasukan khas serta kakitangan ESSCOM yang begitu komited menjaga keselamatan dan kedaulatan negara selama ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement