Anda di sini

Tentera Myanmar lerai keras protes anti-junta, tiga cedera

Advertisement
 Seorang wartawan tempatan (tiga kiri) yang membuat liputan mengenai protes anti-junta tentera, menerima rawatan kecemasan, manakala seorang penunjuk perasaan yang cedera terbaring di atas usungan di belakang ambulans selepas protes tersebut dilerai keras pasukan tentera di Yangon, kelmarin. - Gambar AFP
DISERANG: Seorang wartawan tempatan (tiga kiri) yang membuat liputan mengenai protes anti-junta tentera, menerima rawatan kecemasan, manakala seorang penunjuk perasaan yang cedera terbaring di atas usungan di belakang ambulans selepas protes tersebut dilerai keras pasukan tentera di Yangon, kelmarin. - Gambar AFP

YANGON: Tentera Myanmar mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang selepas merempuh rali anti-rampasan kuasa secara aman di Yangon dengan menggunakan sebuah kereta, menurut saksi kelmarin.

Negara itu berada dalam kekacauan sejak Februari setelah junta tentera merampas kuasa, mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara yang cuba dileraikan dengan tindakan keras dan penahanan beramai-ramai.

Pemerintahan tentera selama lebih 10 bulan telah melihat kira-kira 1,300 orang terkorban ketika mengadakan rali anti-junta namun bantahan kecil dan mudah bergerak masih banyak dilakukan.

Rali di Yangon dihentikan secara keras kelmarin apabila sebuah kereta besar merempuh, menurut wartawan yang berada di tempat kejadian.

“Kereta besar itu memecut dengan lebih laju ketika semakin hampir dengan penunjuk perasaan, seolah-olah pemandunya sengaja memandu ke arah kumpulan itu,” kata beliau yang menolak untuk menyatakan namanya bagi tujuan keselamatan.

Beliau menyatakan sekumpulan orang, sebahagiannya membawa kain rentang tanda menyokong ketua penduduk awam yang digulingkan Aung San Suu Kyi, dilanggar dan bergelimpangan di atas tanah ketika yang lain lari meninggalkan tempat kejadian.

“Kemudian anggota tentera melompat keluar dari kereta dan mula melepaskan tembakan,” jelas beliau.

Seorang penunjuk perasaan kelihatan mengalami kecederaan serius, kata seorang lagi yang berkata di tempat kejadian, dan telah dibawa bersama dua orang lagi, seorang daripadanya wartawan tempatan, dengan sebuah ambulans.

Anggota tentera kemudian mula memukul tiga orang yang turut dilanggar kereta tersebut, kata seorang penduduk berusia 26 tahun.

“Anggota tentera kemudian mengacukan senjata mereka ke arah kami dan mengarahkan semua orang awam agar meninggalkan tempat tersebut, maka kami terpaksa pergi dari situ,” tambah penduduk itu lagi.

Pihak junta telah lama mengesahkan pengambilalihan kuasanya dengan menyatakan penipuan dalam pilihan raya pada tahun lepas, di mana parti Suu Kyi menang tipis, dan telah berikrar akan mengadakan pilihan raya baharu pada 2023. – AFP

Advertisement