Anda di sini

Sabah tubuh syarikat SMJ Petroleum Sdn Bhd

Advertisement
 Hajiji (tiga kiri), Mohd Bakke (tiga kanan) menyaksikan Masidi (kiri) dan Safar (dua kiri) bersama Muhammad Taufik (dua kanan) serta Mohamed Firouz (kanan) menunjukkan dokumen CCA yang dimeterai pada majlis itu.
METERAI CCA: Hajiji (tiga kiri), Mohd Bakke (tiga kanan) menyaksikan Masidi (kiri) dan Safar (dua kiri) bersama Muhammad Taufik (dua kanan) serta Mohamed Firouz (kanan) menunjukkan dokumen CCA yang dimeterai pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencatatkan kejayaan bersejarah selepas Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri ini iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd adalah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai di antara kerajaan negeri dengan syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini.

Hajiji berkata, CCA adalah dokumen yang paling penting di antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) yang dipersetujui ditandatangani kedua-dua pihak.

"Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah.

"Sejajar dengan terma dan syarat CCA, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan syarikat milik penuhnya untuk terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas.

"Sehubungan itu, saya berasa gembira mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd yang akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya selepas majlis menandatangani CCA berkenaan di sini.

Beliau berkata, menjadi aspirasi rakyat agar Sabah akan mendapat lebih banyak hasil daripada industri minyak dan gas.

Menurutnya, satu Jawatankuasa Bersama ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk membincangkan penglibatan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.

Katanya, sebelum penubuhan Jawatankuasa Bersama, kerajaan negeri dan PETRONAS mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula 8 Oktober 2021, dan dua bulan kemudian selepas beberapa mesyuarat diadakan, CCA dimuktamadkan.

"Ini menunjukkan PETRONAS dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

"Komitmen kedua-dua kerajaan negeri dan PETRONAS memudahkan kerajaan Persekutuan kerana hanya satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Bersama diadakan pada 1 Disember lepas, yang mana kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri mengulangi kenyataannya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah pada Jumaat lalu, bahawa CCA akan membolehkan Sabah mendapat penyertaan perkongsian hasil yang lebih besar dalam perkara berkaitan minyak dan gas melalui rangka kerja perundingan komersial dengan PETRONAS pada masa yang sama memastikan Sabah mengekalkan hak perundangannya.

Beliau juga memberi jaminan CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah termasuk luar pesisir dan darat.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa teknikal CCA yang diketuai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun untuk kerajaan negeri bersama  Mohamed Firouz Asnan dari PETRONAS serta anak kelahiran Sabah yang juga bekas Pengerusi Shell Malaysia Datuk Sri Lim Haw Kuang, atas usaha mereka untuk memastikan CCA menjadi kenyataan.

Turut hadir, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Datuk Tengku Muhammad Taufik.
 

Advertisement