Anda di sini

SUPP akur keputusan calon Dudong 

Advertisement
Dr Sim bercakap kepada pemberita pada sidang media, hari ini. - Gambar Chimon Upon.
Dr Sim bercakap kepada pemberita pada sidang media, hari ini. - Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menghormati keputusan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.

Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, meskipun terkejut dengan keputusan GPS untuk meletakkan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing di Dudong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) ini, namun SUPP tidak mempunyai pilihan selain menghormatinya. 

“Saya terkejut, kecewa dan marah apabila menyedari beberapa sasaran (kerusi) yang kami minta (untuk) tidak diberikan kepada kami.

“Memandangkan keputusan telah dibuat, kita perlu menyokong calon GPS. Saya menggesa pengundi Cina di Sarawak menyokong calon GPS kita.

“Kerajaan GPS adalah untuk semua kaum dan (Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri) Abang Johari (Tun Openg) telah berkata kita mahu orang Cina (perwakilan) dalam kerajaan, beliau juga (menyuruh rakyat) menyokong Dr Sim dan pasukan dalam pilihan raya ini,” katanya pada sidang media yang diadakan di SUPP cawangan Batu Kawah di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, SUPP tidak dimaklumkan mengenai calon GPS untuk Dudong sehingga 24 jam sebelum pengumuman mengenai barisan calonnya semalam.

Menurut Dr Sim, sehingga 24 jam sebelum pengumuman calon GPS, calon di Dudong adalah bukan Tiong.

"Saya sangat terkejut, 24 jam sebelum ini, ia tidak seperti itu. Tetapi keputusan telah dibuat, ia adalah keputusan GPS dan kami semua adalah calon GPS," tambahnya.

Secara tradisinya, Dudong telah diperuntukkan kepada SUPP dan ini akan menjadi yang pertama kerusi bandar majoriti Cina ditandingi oleh parti komponen GPS lain.

SUPP bukan sahaja kehilangan hak tradisinya untuk bertanding di Dudong, ia juga gagal mendapatkan semula hak bertanding di Mambong, yang dijangka dipertahankan oleh penyandang GPS Datuk Dr Jerip Susil, yang memenangi kerusi itu sebagai calon langsung Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri 2016.

Dr Sim, yang merupakan penyandang kerusi Batu Kawah dan dijangka mempertahankan kerusi itu, berkata walaupun beliau emosi dengan keputusan GPS meletakkan Tiong di Dudong, mereka perlu meneruskannya.

“Mari kita bersatu untuk memenangi 18 kerusi (SUPP bertanding) dan (lebih baik lagi, semua) 82 kerusi untuk GPS,” katanya.

18 kerusi yang ditandingi SUPP ialah Opar, Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Simanggang, Engkilili, Repok, Meradong, Bukit Assek, Bawang Assan, Pelawan, Tanjong Batu, Piasau, Pujut dan Senadin.
 

  • oleh
  • Advertisement