Anda di sini

Program Jualan Keluarga Malaysia diperkenal di e-Mart Batu Kawa

Advertisement
Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa harga barang di e-Mart.
Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa harga barang di e-Mart.

KUCHING: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diperkenalkan di Sarawak mulai hari ini bertempat di e-Mart Batu Kawa d sini dari jam 9 pagi hingga 1 petang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, PJKM dilancarkan Perdana Menteri Datuk seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur pada 2 Disember 2021.

“Rakan strategik PJKM yang pertama di Kuching adalah pasar raya e-Mart. 

“Rakan-rakan strategik lain akan dijemput untuk bekerjasama di PJKM di masa depan di kawasan-kawasan parlimen lain di negeri Sarawak yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

“PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Stanley berkata, pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

Katanya program merupakan kerjasama antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan MOF serta agensi-agensi di bawahnya serta rakan-rakan strategik yang terdiri dari pemain industri dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan Malaysia.

“Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen.

“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran setempat,” katanya.

Antara barang-barang yang dijual semasa program ini adalah, ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses.

Katanya, KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. 

“Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara,” katanya.

Sementara itu Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan penyaluran aduan, orang ramai khususnya rakyat Sarawak boleh buat ke talian whatsapp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui email ke [email protected].
 

  • oleh
  • Advertisement