Anda di sini

Manifesto GPS selari Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia

Advertisement
Annuar (dua kanan) melawat Kampung Digital TEGAS diiringi Dr Hazland (kanan) dan Manzoor (dua kiri). -Gambar PENERANGAN
Annuar (dua kanan) melawat Kampung Digital TEGAS diiringi Dr Hazland (kanan) dan Manzoor (dua kiri). -Gambar PENERANGAN

KUCHING: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memfokuskan kepada ekonomi digital selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Datuk Seri Annuar Musa berkata ekonomi digital merupakan satu daripada cabang yang diutamakan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan Negara 2022.  

“Saya sangat mengalu-alukan, kalau komitmen ataupun janji dalam manifesto GPS turut memasukkan elemen ekonomi digital. 

“Ini penting sebab ekosistem ekonomi digital perlu ada rangka tindakan yang merangkumi soal prasarana, insentif dan sebagainya. 

“Jadi kalau manifesto GPS memasukkan elemen ekonomi digital itu satu perancangan yang selari dengan rangka tindakan negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke Kampung Digital TEGAS serta Program Sembang Warung di fasiliti itu di sini hari ini. 

Mengenai fasiliti di Kampung Digital TEGAS, Annuar berkata ia satu inisiatif yang sangat baik oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak  Sarawak (TEGAS). 

Dengan adanya inisiatif ini katanya ia dapat memberi peluang kepada syarikat-syarikat terutama syarikat pemula menyertai perkembangan ekonomi digital. 

“Saya rasa ini satu model yang patut turut dilihat oleh negeri-negeri lain kerana saya rasa kaedah seperti ini elok kalau dapat dibuat di semua negeri-negeri. 

“Dari segi ekonomi digital Sarawak lebih maju bukan sahaja ada Kampung Digital tetapi juga Hab Digital dan saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri untuk inisiatif ini,” katanya. 

Pada lawatan itu Annuar turut diberi taklimat mengenai fasiliti yang terdapat di Kampung Digital TEGAS oleh pengurus besarnya Manzoor Hayat Khan. 

Hadir sama Ahli Lembaga Amanah TEGAS Dr Hazland Abang Hipni yang juga calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 
 

  • oleh
  • Advertisement