Anda di sini

Messi megah pamer anugerah Ballon d’ Or, Nice rantai PSG tanpa gol  

Advertisement
Messi bergambar bersama anugerah beliau sebelum perlawanan Ligue 1 Perancis di antara PSG dan OGC Nice di Stadium The Parc des Princes, Paris, kelmarin. ― Gambar AFP
Messi bergambar bersama anugerah beliau sebelum perlawanan Ligue 1 Perancis di antara PSG dan OGC Nice di Stadium The Parc des Princes, Paris, kelmarin. ― Gambar AFP

PARIS: Lionel Messi mempamerkan anugerah Ballon d’Or yang dimenanginya kepada penyokong Paris Saint Germain (PSG) pada Rabu tetapi pemain antarabangsa Argentina itu beraksi hambar ketika pendahulu Ligue 1 Perancis diikat tanpa jaringan oleh Nice di Parc des Princes.

Messi, 34, diragui dapat diturunkan sebelum perlawanan selepas dilaporkan sakit perut selepas meraikan anugerah Ballon d’Or buat kali ketujuh pada satu majlis di Paris pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, dia diturunkan dalam kesebelasan utama skuad  yang tanpa kelibat rakan penyerangnya, Neymar, yang dijangka perlu berehat sehingga lapan minggu kerana kecederaan buku lali.

Angel Di Maria dan Kylian Mbappe hampir membuka jaringan selepas rehat buat PSG, yang bernasib baik tidak bolos apabila rembatan Kasper Dolberg terkena palang dalam separuh masa kedua.

Messi masih hanya menjaringkan satu gol liga sejak tiba dari Barcelona pada bulan Ogos, walaupun dia ada menjaringkan tiga gol dalam Liga Juara-Juara.

Gianluigi Donnarumma juga mempamerkan Trofi Yashin untuk anugerah Penjaga Gol Terbaik di majlis yang sama di Paris.

Namun pada Rabu, dia tidak begitu diuji walaupun ada bertindak tangkas menepis cubaan Andy Delort selepas setengah jam permainan.

Walaupun seri, skuad  kendalian Mauricio Pochettino itu masih berkelebihan 12 mata di singgahsana liga berbanding pencabar terdekat, Marseille, yang naik ke tangga kedua selepas menewaskan Nantes 1-0.

“Kami mencipta peluang dan saya fikir kami selayaknya tiga mata penuh,” kata Pochettino.

“Kami meningkat sedikit demi sedikit. Kami berada di tangga teratas Ligue 1 dan meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara.”

Marseille, yang juga kurang satu perlawanan, memintas Rennes yang tewas 1-2 kepada Lille.

Nice tercicir ke tangga keempat sementara Lens seri 2-2 di Clermont untuk berada di tangga kelima.

Pada perlawanan lain, Strasbourg menang besar apabila membelasah Bordeaux 5-2 dan melonjak ke tangga keenam liga.

Lyon kekal di pertengahan liga selepas dikejutkan 1-2 di tempat sendiri oleh Reims, dengan Hugo Ekitike menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan ekoran kesilapan oleh penjaga gol Anthony Lopes.

Lyon terpaksa bermain tanpa penonton sebagai hukuman ekoran kekecohan penonton pada perlawanan menentang Marseille di mana pemain Marseille, Dimitri Payet terkena botol dibaling oleh penonton. ― AFP
 

Advertisement