Anda di sini

Wanita mengandung maut kemalangan

Advertisement
 Kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabas dan melanggar penghadang jalan.
REMUK: Kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabas dan melanggar penghadang jalan.

TAWAU: Seorang wanita mengandung maut, manakala tiga yang lain parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di KM45 Jalan Apas Balung, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.52 petang itu, Noor Aqila Ibrahim,27, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama suaminya, dalam perjalanan dari Tawau ke Semporna.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila suami mangsa yang memandu kereta jenis sedan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan mangsa juga turut melanggar sebuah kenderaan yang dipandu lelaki warga emas di laluan kanan sebelum merempuh penghadang jalan.

“Selain itu, sebuah lagi kenderaan e-hailing yang dalam perjalanan dari Semporna tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini tadi.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa meninggal di lokasi kejadian, suaminya pula patah kaki kiri, manakala pemandu e-hailing dan penumpangnya mengalami kecederaan parah.

“Sementara itu, lelaki warga emas dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tawau menggunakan ambulan dan kini masih menerima rawatan di zon merah dan kuning,”katanya.

Peter berkata, hasil siasatan mendapati insiden itu berpunca daripada kecuaian pemanduan suami mangsa sehingga hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.

“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement