Anda di sini

RM10 juta bantu B40, M40 miliki rumah di bawah Skim Bantuan Deposit Perumahan 

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM10 juta di bawah Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) bagi membantu kumpulan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri. 

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, skim ini diperkenalkan dan dilaksanakan di bawah Belanjawan Negeri 2022 yang akan memanfaatkan kira-kira 1,200 pemilik kediaman. 

Di bawah skim ini, bantuan sehingga RM10,000 akan disediakan kepada pemilik rumah pertama di bawah kategori B40 dan M40 bagi pembayaran deposit perumahan. 

“Skim ini akan diuruskan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd (Mutiara) dan terpakai untuk pemilikan projek perumahan mampu milik yang dibenarkan Kerajaan Negeri Sarawak.  

“Pelaksanaan skim ini akan membolehkan lebih ramai kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana membeli dan memiliki rumah. 

“Ini adalah testimoni jelas usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan segment signifikan rakyat Sarawak akan dapat membeli dan memiliki kediaman mereka,” katanya. 

Permohonan bagi skim ini boleh dibuat menerusi pemaju yang tersenarai bagi projek diluluskan atau skim oleh Mutiara. 

Bagi pemilik tanah diperuntukan oleh Jabatan Tanah dan Survei di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS), permohonan bagi HDAS boleh dibuat menerusi Mutiara. 

Kriteria layak bagi permohonan adalah kumpulan B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah RM3,729 dan ke bawah serta kumpulan M40 dengan pendapatan bulanan isi rumah RM3,730 hingga RM8,649. 

Kriteria lain hanya rakyat Sarawak dengan status penduduk tetap layak memohon skim ini. 

Projek perumahan yang di senaraikan di bawah HDAS termasuklah perumahan kos rendah dengan harga antara RM50,400 hingga RM59,220 seunit, kos rendah plus/kos sederhana (RM80,000-RM100,000), Spektra Lite (RM100,000-RM120,000), Spektra Medium (RM135,000-RM168,000), Spektra Plus/Putera (RM150,000-RM198,000), Spektra Permata (RM90,000-RM160,000) dan Sri Pertiwi (RM270,000-RM295,000). 

Turut disenaraikan di bawah HDAS rumah mampu milik dibangunkan agensi kerajaan negeri dan projek dibangunkan syarikat milik kerajaan negeri bersama pemaju swasta. 

Mereka yang berminat untuk memohon bagi HDAS dinasihatkan menghantar borang yang telah lengkap diisi ke alamat Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, Groud Floor of The Left Wing, Wisma Sultan Tengah, Taman Sukma, Jalan Sukma, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak dengan nombor telefon 082-313035 dan emel [email protected]

Advertisement