Anda di sini

Tentera Darat rampas rokok seludup bernilai RM4.5 juta di Lawas

Advertisement
Suspek dan barang rampasan dikawal rapi oleh anggota Tentera Darat.
Suspek dan barang rampasan dikawal rapi oleh anggota Tentera Darat.

KUCHING: Tentera Darat gagalkan cubaan seludup 30,000 karton pelbagai jenis rokok putih bernilai mencecah RM4.5 juta di Merapok, Lawas hari ini.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia melalui kenyataan akhbarnya, berkata sepasukan anggotanya sedang melaksanakan rondaan Ops Benteng di kawasan Tanjung Enasan Tinggi, Bukit Skaban sekitar jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, mereka berjaya mengesan dua buah lori yang mencurigakan melalui kawasan tersebut.

"Anggota kita kemudian bertindak menahan kenderaan tersebut, namun tiga daripada empat individu berjaya melarikan diri dan seorang suspek yang berjaya ditahan merupakan warga asing berusia 35 tahun.

"Suspek terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Anggota operasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua lori berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui 30,000 karton rokok putih bernilai RM4.5 juta yang disyaki cuba diseludup.

"Kesemua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM4.7 juta (termasuk lori) bersama suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tanpa cukai.

"Tentera Darat terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara.

"Kita akan memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement