Anda di sini

Messi dinobat anugerah Ballon d'Or

Advertisement
 

PARIS: Lionel Messi (gambar) mengakui memenangi kejuaraan Copa Amerika bersama Argentina mungkin merupakan faktor penentu untuknya memenangi anugerah Ballon d'Or buat kali ketujuh selepas satu tahun turun naik, sementara pemain wanita dari Sepanyol, Alexia Putellas, memenangi anugerah bagi kategori wanita pada Isnin.

Messi, 34, menewaskan pesaing kuat seperti Robert Lewandowski dan Karim Benzema untuk memenangi anugerah pada satu majlis gilang gemilang di Paris, bandar raya yang sekarang dia gelar ërumahí selepas meninggalkan kelab sejak kecil, Barcelona untuk ke Paris Saint Germain (PSG) pada bulan Ogos lepas.

Walaupun ucapan selamat jalan penuh emosi ketika mengumumkan  meninggalkan Barcelona dan memulakan kehidupan baharu di Perancis, wartawan yang mengundi dari seluruh dunia memberikan anugerah itu kepadanya kerana mengetuai Argentina memenangi kejuaraan antarabangsa pertama mereka sejak 1993.

"Dua tahun yang lalu, saya fikir saya akan memasuki tahun terakhir saya tetapi di sini saya kembali sekali lagi,î kata Messi, yang memenangi anugerah terakhir ini pada 2019 sebelum anugerah tahun lepas dibatalkan kerana pandemik COVID-19," katanya.

Messi juga pernah memenangi anugerah ini pada 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2015.

"Orang mula bertanya kepada saya bila saya akan bersara tetapi sekarang saya berada di Paris dan saya berasa sangat gembira. Saya tidak tahu berapa tahun lagi  untuk saya tetapi saya berharap akan ada lebih banyak lagi kerana saya benar-benar menikmati diri saya sendiri tahun ini.

"Apa yang saya capai bersama Argentina adalah impian menjadi kenyataan. Saya fikir saya memenangi anugerah ini kerana apa yang kami lakukan dalam Copa Amerika, jadi saya mengabadikan anugerah ini kepada rakan sepasukan saya," ujarnya.

Argentina menewaskan Brazil 1-0 di final yang  berlangsung di Rio de Janeiro ketika Messi akhirnya memenangi kejuaraan antarabangsa buat kali pertama. Dia menjaringkan 38 gol dalam 48 perlawanan pada musim terakhir bersama Barcelona dan juga memenangi Copa del Rey (Piala Sepanyol).

Bagaimanapun, Messi hanya bermain 11 perlawanan dan menjaringkan empat gol bersama PSG sejak menyertai kelab dan ada perasaan bahawa tahun ini mungkin melihat pemenang berbeza.

Lewandowski, penyerang antarabangsa Poland dan kelab Bayern Munich, mungkin menjadi calon pemenang pada 2020 apabila menjaringkan 45 gol dalam 37 perlawanan bersama Bayern namun penganugerahan itu dibatalkan kerana pandemik COVID-19.

Dia menamatkan musim lepas dengan 41 gol liga tetapi terpaksa akur dengan tempat kedua dalam proses pemilihan untuk Ballon díOr, yang dianjurkan oleh majalah bola sepak terkenal, France Football dan undian dari satu panel wartawan dari seluruh dunia.

Lewandowski bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima anugerah gol tercantik dan juga menerima pujian dari Messi.

"Saya mahu berkata kepada Robert bahawa ia satu penghormatan bersaing anugerah ini dengannya. Dia selayaknya menang tahun lepas," kata Messi.

Pemain tengah, Jorginho, yang memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Chelsea dan Euro 2020 bersama Itali, menduduki tempat ketiga, diikuti Karim Benzema (Real Madrid) dan seorang lagi pemain Chelsea, NíGolo Kante.

Pemenang lima kali, Cristiano Ronaldo menduduki tempat keenam dan tidak hadir pada majlis tersebut.

Di antara mereka, Messi dan Ronaldo sudah memenangi 12 dari 13 edisi terakhir anugerah dengan pengecualian pada 2018 apabila Luka Modric muncul pemenang.

Anugerah ini juga kali ketiga di mana kategori wanita diadakan, dengan Putellas mengikuti jejak Ada Hegerberg dari Norway, pemenang pada 2018 dan Megan Rapinoe dari AS pada 2019.

Putellas, 27, mengetuai Barcelona memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Wanita tahun ini dengan menjaringkan penalti di final ketika membelasah Chelsea 4-0.

Dia juga memenangi kejuaraan berganda La Liga Sepanyol dan Piala Sepanyol bersama pasukan wanita Barcelona, kelab yang disertainya sejak remaja pada 2012 dan juga semakin menjadi kuasa bola sepak wanita.

Rakan senegara dan sepasukannya di Barca, Jennifer Hermoso, menduduki tempat kedua, diikuti Sam Kerr dari Chelsea. - AFP

Advertisement