Anda di sini

Malaysia harap Omicron tak jejas jemaah tunai haji musim depan

Advertisement
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU: Malaysia berharap jangkitan varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529 yang dikenali sebagai Omicron, tidak akan menjejaskan bakal jemaah dari negara ini untuk menunaikan ibadah haji pada musim depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad turut berharap agar jangkitan varian baharu itu tidak melibatkan rakyat negara ini memandangkan jemaah Malaysia tidak dapat menunaikan ibadat haji pada musim lepas.

“Kita harapkan benda itu (Omicron) tidak melibatkan negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Mutiara Rini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada kerajaan akan mengenakan syarat yang ketat kepada bakal jemaah haji atau sebaliknya susulan terdapat varian baharu COVID-19. 

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Omicron mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta, namun setakat ini belum dipastikan sejauh mana ‘ganasnya’ (virulent) virus itu. 

Pada 12 Jun lepas, Malaysia dilaporkan tidak menghantar jemaah haji bagi musim ini berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya mengehadkan ibadah itu kepada rakyatnya dan penduduk negara lain yang telah berada di negara tersebut berikutan situasi semasa COVID-19 di seluruh dunia.

Selain itu, Idris berkata kerajaan masih menunggu keputusan rasmi daripada Arab Saudi berhubung kuota jemaah haji musim depan dan ia mungkin mengambil masa disebabkan pihak berkuasa negara tersebut perlu meneliti aspek prosedur operasi standard (SOP), logistik dan sebagainya mengikut norma baharu.

Mengulas mengenai kemungkinan kenaikan kos menunaikan haji, Idris berkata ia akan ditentukan dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya bulan depan selepas beliau mendengar taklimat daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

"Saya tidak dapat mengulas lagi sama ada (kos haji musim depan) akan naik atau tidak. Namun kos umrah pun dilaporkan sudah bertambah lebih RM2,000 baru-baru ini, walaupun ia hanya 10 hari. Paling utama kita nak jaga kebajikan pendeposit dan jemaah haji," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata kos menunaikan haji dijangka meningkat lebih 50 peratus berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi menaikkan cukai nilai tambah (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai tahun lepas.

Ahmad Marzuk dipetik sebagai berkata kenaikan itu telah menyebabkan kos tersebut akan bertambah menjadi lebih RM30,000, berbanding sebelum ini RM23,000.

Mengenai cadangan supaya subsidi bersasar diberikan kepada golongan B40 yang mahu menunaikan haji, Idris berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama TH yang bertindak sebagai operator pengurusan haji negara.

"TH perlu ambil kira tanggungjawab kepada pendeposit yang kebanyakannya sudah menunaikan haji dan kebajikan bakal jemaah haji dalam kalangan B40. Setiap tahun TH buka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi kos haji, namun tidak ramai menyahut peluang itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengikut keputusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan wanita mendaftar haji musim ini tanpa mahram bersama jemaah wanita lain, Idris berkata pihak Penasihat Syariah TH akan memutuskan perkara itu.  -- BERNAMA

Advertisement