Anda di sini

Sejumlah RM1,634,181 nilai rampasan berjaya dilakukan KPDNHEP Sabah

Advertisement
 Anggota penguatkuasaan KPDNHEP ketika melaksanakan tugasan.
BERTUGAS: Anggota penguatkuasaan KPDNHEP ketika melaksanakan tugasan.

KOTA KINABALU:  Sehingga 28 November 2021, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Sabah telah menjalankan 94,239 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh Sabah. 

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, daripada jumlah pemeriksaan itu sebanyak 1,133 tindakan kes telah dihasilkan berdasarkan pelbagai kesalahan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP dengan nilai rampasan berjumlah RM1,634,181.

"Kutipan kompaun sepanjang tahun 2021 pula adalah sebanyak RM133,800, manakala jumlah denda bagi kes yang dituduh dan disabitkan kesalahan di mahkamah adalah sebanyak RM345,000.

"Bagi tahun 2021, kementerian telah mengeluarkan sebanyak 99 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 kepada peniaga. 

"Sebanyak 1,403 premis telah diperiksa di bawah OPS Pasar 2021 bagi barangan Telur Ayam, Ayam, Sayur-sayuran dan Daging Lembu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu juga telah menerima sebanyak 1,333 aduan pada tahun 2021 dan 1,306 daripada jumlah aduan tersebut telah pun disiasat.

Katanya, di antara aduan tertinggi yang diterima adalah aduan mengenai harga (519 aduan), transaksi atas talian (372 aduan), dan perkhidmatan yang mengelirukan (165 aduan). 

"Kerjasama erat KPDNHEP Sabah dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia terutamanya Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2021 telah banyak membantu dalam usaha kementerian ini membanteras percubaan penyeludupan barang-barang kawalan seperti gas petroleum cecair, minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, petrol RON95 dan diesel keluar ke negara jiran. 

"Ini terbukti apabila KPDNHEP Sabah telah mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas 64 kes serahan dengan nilai rampasan berjumlah RM817,393 yang diterima daripada agensi-agensi penguatkuasaan tersebut," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP Sabah akan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan agensi-agensi penguatkuasaan agar tindakan penguatkuasaan berterusan serta lebih efektif dilaksanakan di kawasan-kawasan perairan dan sempadan negeri Sabah.

Katanya, para peniaga dan pengguna di Sabah juga telah memainkan peranan masing-masing dari segi pematuhan etika perniagaan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian ini di samping menjalankan tanggung jawab sebagai pengguna yang berhemah.  

  • oleh
  • Advertisement