Anda di sini

Sahabat LDP hantar bekalan air kepada penduduk UUC Telipok

Advertisement
 Jimmy (tengah) merakamkan gambar kenangan selepas membawa bekalan air untuk disalurkan kepada penduduk UUC Telipok.
PRIHATIN: Jimmy (tengah) merakamkan gambar kenangan selepas membawa bekalan air untuk disalurkan kepada penduduk UUC Telipok.

KOTA KINABALU: Beberapa lori tangki membawa bekalan air telah dihantar ke University Utama Condominium (UUC) Telipok bagi membantu penduduk.

Pengerusi Parti Liberal Demokratik (LDP) Bahagian Karambunai Jimmy Lai berkata, usaha itu dilakukan menerusi sayap kebajikan parti berkenaan Sahabat LDP.

Katanya, baru-baru ini penduduk UUC, Ruby Raj dalam satu rakaman telah tular meluahkan kekecewaan mengenai gangguan bekalan air yang dialami.

"Netizen memuji keberanian wanita ini yang mendedahkan masalah air dialami penduduk kawasan berkenaan kepada orang awam.

"Dalam rakaman itu, Ruby mendedahkan isu bekalan air di kawasan itu telah berlaku sejak enam bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jimmy berkata, menurut pihak pengurusan bekalan air telah disalurkan kepada penduduk menerusi tangki air yang sedia ada.

Bagaimanapun katanya, pihak pengurusan berhadapan dengan cabaran untuk menyalurkan bekalan air ke tingkat tiga dan ke atas. Selain itu, sesetengah penduduk tidak dapat pulang ke rumah tepat pada waktunya untuk mendapatkan bekalan air disebabkan kesesakan lalu lintas.

Oleh yang demikian katanya, ramai penduduk terpaksa membasuh kain masing-masing di kedai dobi dan membungkus makanan atau minuman yang mana tindakan seumpamanya secara langsung meningkatkan kos kehidupan.

"Selepas mendapat maklum masalah ini, Sahabat LDP terus mengurus atur mendapatkan lori tangki membawa air (termasuk air minuman) ke perumahan ini.

"Dengan peruntukan yang sangat terhad, kami hanya dapat melakukan terbaik bagi membantu penduduk mengatasi beban mereka," katanya.

Dalam pada itu, Jimmy juga menyeru kerajaan untuk melihat permasalahan itu dengan lebih serius, selesaikan masalah gangguan air di UUC secepat mungkin agar penduduknya dapat menikmati bekalan air secara berterusan.

Turut serta dalam usaha itu ialah Naib Ketua Jonity Latiu serta ahli-ahli Herry Formin,Grace Balan,Liew Wah Yi, Simon Chin dan Zen Yong.

  • oleh
  • Advertisement