Anda di sini

Manchester City juara Kumpulan A

Advertisement
Pertemuan di antara Man City dan PSG dalam aksi Liga Juara-Juara Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Etihad di Manchester. — Gambar AFP
Pertemuan di antara Man City dan PSG dalam aksi Liga Juara-Juara Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Etihad di Manchester. — Gambar AFP

MANCHESTER: Paris Saint Germain (PSG) berdepan undian pusingan kedua Liga Juara-Juara yang sukar selepas Manchester City mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan A dengan kemenangan 2-1 ke atas juara liga dari Perancis itu pada Rabu.

Kylian Mbappe meletakkan PSG di hadapan pada perlawanan di Stadium Etihad, lima minit selepas rehat.

Tetapi asakan demi asakan City membuahkan hasil apabila gol dari Raheem Sterling dan Gabriel Jesus memastikan kemenangan juara liga Inggeris itu.

Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino terpaksa berdepan dengan beberapa soalan pada sidang media sebelum perlawanan sama ada dia akan  berpindah ke Manchester untuk mengisi kekosongan jawatan di Manchester United.

“Pemain sangat mengetahui situasi kami. Kita berada dalam bidang penuh khabar angin, kadang-kadang positif, kadang-kadang negatif,” kata Pochettino jika spekulasi itu menjejaskan pasukannya.

Tahun pertama Pochettino di Paris tidak begitu lancar walaupun pasukannya memiliki kelebihan 11 mata di singgahsana Ligue 1 Perancis ketika ini.

Kehadiran Lionel Messi untuk membentuk gandingan serangan berbisa bersama-sama Mbappe dan Neymar juga meningkatkan lagi jangkaan bahawa Pochettino akan membawa kejuaraan Eropah yang sulung ke Paris.

Tetapi mereka sekarang bakal berdepan sama ada Chelsea, Bayern Munich atau Liverpool di pusingan kedua.

Barisan penuh dengan penyerang berbisa di PSG jelas kelihatan apabila pasukan pelawat itu gagal mengawal posisi tengah padang.

“Kami harus memperbaiki prestasi,” tambah Pochettino. “Saya gembira dengan perkembangan sedia ada. Semuanya lebih baik dari sebulan yang lalu dan lebih baik dari dua bulan yang lalu. Sedikit demi sedikit pasukan akan  meningkat.”

City mempamerkan permainan lebih  baik tetapi kekurangan penyudah kemas berbanding apa yang mampu diberikan PSG.

Pemain pertahanan City Presnel Kimpembe mengeluarkan tandukan Rodri sebelum melepasi garisan pintu gol dan Achraf Hakimi juga melakukan tindakan yang sama apabila menghadang rembatan Riyad Mahrez.

Walaupun kehilangan tiga bintang tengah, Kevin De Bruyne, Jack Grealish dan Phil Foden, City masih mencipta peluang ketika Messi, Neymar dan  Mbappe tidak banyak membantu pasukannya untuk bertahan.

Ilkay Gundogan mempunyai peluang terbaik City sebelum rehat tetapi rembatannya tersasar.

Mbappe  kemudian menunjukkan cara untuk menyempurnakan peluang apabila merembat bola dari celah kaki penjaga gol Ederson untuk membuka jaringan.

Tetapi rentak permainan tetap tidak berubah dengan City terus menguasai permainan dan mempunyai lebih banyak peluang.

“Kami ketinggalan 0-1 dan terpaksa meneruskan rentak,” kata pengurus City, Pep Guardiola. “Satu pujian besar dan tahniah kepada pemain.”

Umpanan Kyle Walker melepasi jangkauan Jesus tetapi bola sampai ke kaki Sterling untuk melakukan rembatan bagi gol penyamaan yang juga gol keempatnya musim ini.

Pochettino memasukkan Angel Di Maria untuk menambah kekuatan di jentera serangan dan dia mengumpan bola kepada Neymar untuk peluang meletakkan PSG kembali di hadapan tetapi cubaan Neymar tersasar walaupun hanya berdepan Ederson.

Tidak lama selepas itu, satu lagi pergerakan cantik City menghasilkan gol kemenangan.

Hantaran Mahrez menemui Bernardo Silva, yang melorong bola kepada Jesus untuk melakukan penyudah kemas.

Kemenangan membolehkan City memiliki kelebihan empat mata di tangga teratas kumpulan dengan baki satu perlawanan sahaja lagi.

Tetapi dengan RB Leipzig membelasah Club Brugge 5-0, ini bermakna PSG juga mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua sebagai naib juara kumpulan. – AFP

Advertisement