Anda di sini

ST, SESB serbu empat premis curi elektrik

Advertisement
 Pihak ST dan SESB memotong pepasangan elektrik haram di salah sebuah premis di sini.
POTONG: Pihak ST dan SESB memotong pepasangan elektrik haram di salah sebuah premis di sini.
JEFREY
JEFREY

KOTA KINABALU: Tindakan empat premis perniagaan yang beroperasi dengan pepasangan elektrik haram membawa padah selepas diserbu Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu operasi sekitar sini semalam.

Pengarah Kawasan ST Sabah Jefrey Nuri berkata operasi dijalankan hasil risikan serta maklumat awam berkenaan kegiatan mencuri bekalan elektrik terbabit di daerah ini.

“Kita menjalankan serbuan selama dua hari yang  diketuai ST dengan disertai seramai 35 kakitangan membabitkan kedua-dua agensi. 

“Operasi ditumpukan di premis yang didapati wujudnya penambahan pendawaian secara haram untuk menyalurkan bekalan elektrik ke dalam premis.

“Pendawaian yang dikesan ini membabitkan penambahan bekalan elektrik daripada satu fasa kepada tiga fasa untuk kegunaan premis masing-masing,” katanya semasa sidang media selepas operasi dijalankan di sini.

Menurutnya serbuan membabitkan salah sebuah restoran yang melakukan penyambungan bekalan elektrik tanpa melalui meter SESB yang berdaftar bagi mengelakkan menerima bil elektrik yang tinggi. 

“Kegiatan yang dilakukan oleh premis ini menggunakan kaedah penyambungan haram sudah dipercayai beroperasi sejak satu atau dua tahun lalu

“Perbuatan ini juga mengakibatkan SESB mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah kira-kira RM118,087 membabitkan empat premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37(14) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun.

“Bagi kesalahan kedua pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta dan penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengganggu pepasangan meter elektrik milik SESB.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak ST atau SESB sekiranya mengesan sebarang kejanggalan pada meter untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement