Anda di sini

Penduduk Nanga Assan bakal miliki gereja baharu

Advertisement
Richard (barisan depan, tiga kiri), Alice (barisan depan, dua kiri), Bonnie (barisan depan, empat kiri), Juyah (barisan depan, enam kanan), Dr Jayum (barisan depan, kiri) serta yang lain ketika melakukan simbolik Majlis Pecah Tanah Gereja Methodist Iban Nanga Assan di Sibu, hari ini.
Richard (barisan depan, tiga kiri), Alice (barisan depan, dua kiri), Bonnie (barisan depan, empat kiri), Juyah (barisan depan, enam kanan), Dr Jayum (barisan depan, kiri) serta yang lain ketika melakukan simbolik Majlis Pecah Tanah Gereja Methodist Iban Nanga Assan di Sibu, hari ini.

SIBU: Setelah sekian lama menggunakan gereja berstruktur kayu dan kian usang dimamah usia, penduduk Nanga Assan di sini lega apabila mereka akan memiliki sebuah gereja baharu yang lebih selesa.

Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah merealisasikan impian penduduk Nanga Assan apabila menyalurkan peruntukan untuk mendirikan Gereja Methodist Iban Nanga Assan yang baharu.

Majlis pecah tanahnya telah disempurnakan bersama oleh Pengarah UNIFOR Richard Lon, Bishop Gereja Methodist Iban Sarawak (SIAC) Reverend Bonnie Sedau, Paderi Penguasa Gereja Methodist Iban Daerah Sibu Reverend Juyah Mabut, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Gereja Methodist Iban Nanga Assan Dato Ir Alice Jawan dan Profesor Datuk Dr Jayum Jawan selaku mewakili bekas Reverend Jawan Empaling bertempat di tapak gerejanya tidak jauh dari Rumah Edward Chendang di Nanga Assan, hari ini.

Alice dalam ucapannya berkata, Nanga Assan terletak kira-kira 20 minit dari bandar Sibu yang merupakan sebuah kawasan komuniti luar bandar yang terdiri daripada sembilan 13 rumah panjang di sepanjang tebing Sungai Assan dengan 80 peratus penduduknya adalah Kristian Methodist.

Menurutnya, Methodism masuk ke Nanga Assan pada 1958, dan telah melahirkan tiga pastor yang berdedikasi iaitu Reverend Jawan Empaling (bersara), Reverend Jonathan Jelanding (Presiden SIAC dahulu, bersara) dan Reverend Tiong Unjung (disambung kontrak).

"Pada awal tahun 1963, sebuah gereja kayu telah dibina yang boleh memuatkan kira-kira 80 orang. Rangka gereja masih dalam keadaan baik, namun struktur lain seperti dinding, tingkap dan bumbung telah mulai usang dari tahun ke tahun. 

"Selepas 58 tahun, komuniti gereja telah berkembang dan terdapat keperluan besar untuk sebuah gereja baharu dengan kapasiti tempat duduk yang lebih besar," ujarnya.

Alice memberitahu, anggaran kos pembinaan gereja baharu tersebut ialah RM4.8 juta. 

Pada 2020, jelasnya, pihak gerejanya telah menerima geran kerajaan berjumlah RM500,000 untuk kerja-kerja pembersihan tapak melalui UNIFOR yang telah diserahkan oleh Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom. 

"Gereja baharu itu nanti akan dilengkapi sebuah dewan utama, pusat jagaan kanak-kanak atau tabika dan rumah paderi. 

"Dijangka siap menjelang 2024 dan kapasiti tempat duduknya sebanyak 250 orang, gereja itu dijangka memenuhi keperluan rohani yang semakin meningkat bagi komuniti Iban di pinggir bandar dan juga akan berfungsi sebagai tempat pertemuan dan latihan keagamaan," ujar beliau.

Beliau menambah, kerja-kerja pembinaan gereja baharu itu akan bermula pada suku pertama tahun hadapan.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Air Sibu Itin Langit dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Wong Ching Yong.
 

  • oleh
  • Advertisement