Anda di sini

Wanita, pasangan kekasih edar ganja untuk jana pendapatan lumayan ditahan

Advertisement

KOTA KINABALU: Tindakan tiga individu termasuk pasangan kekasih meraih pendapatan lumayan dengan mengedar ganja membawa padah selepas ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu dalam dua serbuan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata serbuan pertama dijalankan di sebuah taman perumahan di Kobusak hasil risikan berterusan daripada pihak polis kira-kira jam 7.30 malam.

“Hasil serbuan menemukan beberapa bungkus plastik berisi dadah jenis ganja seberat 1,711.40 gram yang disembunyikan di dalam rumah berkenaan dan turut ditahan seorang wanita berumur 20 tahun.

“Polis juga merampas telefon bimbit dan komputer riba jenama terkenal terkenal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah serta peralatan untuk membungkus dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd Zaidi berkata hasil maklumat didedahkan suspek pertama, pihak polis kemudiannya melakukan serbuan kedua di sebuah kondominium di KK Times Square pada jam 11.35 malam hari sama.

“Semasa serbuan itu, polis menahan dua individu yang juga pasangan kekasih masing-masing berumur 22 dan 21 tahun bersama ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 871.16 gram yang disimpan di salah sebuah almari di rumah berkenaan.

“Polis turut merampas alat pembungkus dadah serta dua buah telefon bimbit untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek positif dadah.

Tambahnya pihak polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,353 bagi kedua-dua tangkapan.

Katanya hasil siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek adalah warga tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran ganja sebagai sumber pendapatan lumayan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Suspek mendapatkan bekalan ganja dari semenanjung melalui perkhidmatan kurier sebelum diedarkan di sekitar ibu negeri.

“Rampasan ganja keseluruhan seberat 2,583.56 gram bernilai RM6,240 mengikut harga pasaran semasa berupaya memenuhi permintaan hampir 2,584 penagih dalam satu-satu masa,” katanya.

Menurutnya kesemua suspek kini sedang ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6, Seksyen 7 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 Rampasan ganja seberat 2,583.56 gram bernilai RM6,240 berupaya memenuhi permintaan hampir 2,584 penagih dalam satu-satu masa.
RAMPAS: Rampasan ganja seberat 2,583.56 gram bernilai RM6,240 berupaya memenuhi permintaan hampir 2,584 penagih dalam satu-satu masa.
  • oleh
  • Advertisement