Anda di sini

SC: Pengerusi syarikat tersenarai harap perniagaan kekal bertahan, tangani risiko berkaitan COVID-19 pada 2022 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pengerusi syarikat tersenarai memberi penekanan kepada tiga keutamaan utama bagi lembaga pengarah pada 2022, iaitu memastikan kesinambungan dan daya tahan perniagaan, menangani risiko berkaitan COVID-19 serta pengurusan dan kesejahteraan para pekerja. 

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 berkata maklum balas daripada satu kaji selidik yang dikumpulkan daripada 325 pengerusi juga menunjukkan bahawa mereka mahu melihat perubahan baharu dalam komposisi lembaga pengarah sekarang sebagai keperluan untuk mengukuhkan kemahiran lembaga berkaitan dengan inovasi dan teknologi serta kemampanan. 

Menurut SC, majoriti daripada pengerusi menyatakan bahawa lembaga yang mereka terajui mencatatkan prestasi kukuh dan positif berkaitan dengan tadbir urus korporat yang baik. 

"Sebanyak 58 peratus daripada responden memberi penilaian kepada diri mereka sendiri sebagai ‘baik’ apabila diminta menilai diri sendiri keberkesanan mereka sebagai pengerusi, 23 peratus memberi penilaian sendiri sebagai ‘luar biasa’, 23 peratus sebagai ‘biasa’ dan sembilan peratus sebagai ‘kurang baik’. 

"Kebanyakan pengerusi menyatakan bahawa mereka mahu menjadi lebih efektif dan efisien dalam menerajui mesyuarat lembaga dan memastikan mesyuarat tersebut produktif,” katanya dalam laporan tersebut yang dikeluarkan hari ini ini di bawah Kajian Tematik 1 - Keutamaan Lembaga 2022 dan Dinamik Lembaga. 

Pada Ogos 2021, SC bekerjasama dengan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dan menjalankan buat pertama kalinya Kaji Selidik Pengerusi bagi mendapatkan pandangan tentang keutamaan lembaga pada 2022 dan keadaan dinamik lembaga daripada perspektif pengerusi. 

Sementara itu, di bawah Kajian Tematik - Pemerhatian ke atas Pendedahan Kemampanan Syarikat Tersenarai laporan itu, SC mengkaji semula laporan kemampanan 30 syarikat tersenarai besar dan 10 syarikat permodalan permodalan sederhana dan kecil yang secara kolektifnya mewakili  59.5 peratus daripada jumlah permodalan pasaran di Bursa Malaysia setakat 4 Jan, 2021.

Antara dapatan daripada kajian semula itu adalah daripada 40 syarikat yang terlibat dalam kajian, 12 mengeluarkan laporan kemampanan kendiri, manakala bakinya syarikat menggabungkan maklumat mengenai kemampanan dalam laporan tahunannya. 

Lebih separuh daripada syarikat (23 syarikat tersenarai) mendedahkan bahawa laporan kemampanan syarikat disediakan berasaskan kepada Rangka Kerja Inisiatif Pelaporan Global.  

Sebahagian daripada syarikat tersenarai juga dipandu oleh Rangka Kerja Pelaporan Bersepadu Antarabangsa.

"Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan perkara paling biasa yang dikenal pasti sebagai mustahak oleh syarikat-syarikat, yang mana ia telah dijangkakan memandangkan cabaran daripada pandemik COVID-19," kata SC. 

Selain daripada itu, laporan tersebut juga mengkaji Demografi Jawatankuasa Audit Syarikat Tersenarai yang dinyatakan di bawah Kajian Tematik 3, yang menyediakan pemerhatian ke atas demografi Jawatankuasa Audit syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, dari segi komposisi lembaga, kepelbagaian, tempoh serta keupayaan dan teknikal ahli jawatankuasa audit.

"Antara maklumat yang diketengahkan dalam kajian tersebut adalah, biasanya sekurang-kurangnya separuh daripada pengarah dalam lembaga syarikat tersenarai juga adalah ahli jawatankuasa audit. Purata saiz jawatankuasa audit adalah empat pengarah.  

"Tempoh paling lama bagi seseorang pengarah bebas ketika ini adalah 34 tahun. Secara puratanya, tempoh jawatankuasa audit  yang lebih pendek direkodkan bagi seorang ahli jawatankuasa audit, tiga tahun lepas dengan majoriti ahli jawatankuasa audit berkhidmat kurang daripada sembilan tahun,” katanya. 

Ketika ini, pengerusi jawatankuasa audit yang paling lama berkhidmat memegang jawatan tersebut selama 21 tahun.

Hanya 15.9 peratus daripada ahli jawatankuasa audit adalah wanita. katanya. - Bernama 

Advertisement