Anda di sini

Empat anggota RELA dituduh kemuka tuntutan palsu pada 2019

Advertisement
Mohd Khairul (kiri) dan Idrus (dua, kiri) berbincang dengan peguam Burhanudeen Abdul Wahid sebelum didakwa di Mahkamah Seksyen semalam berhubung menggunakan dokumen tuntutan dengan butiran palsu bagi tugasan rondaan keselamatan, pada September 2019. - Gambar Bernama 
Mohd Khairul (kiri) dan Idrus (dua, kiri) berbincang dengan peguam Burhanudeen Abdul Wahid sebelum didakwa di Mahkamah Seksyen semalam berhubung menggunakan dokumen tuntutan dengan butiran palsu bagi tugasan rondaan keselamatan, pada September 2019. - Gambar Bernama 

ALOR SETAR: Empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menggunakan dokumen tuntutan dengan butiran palsu bagi tugasan rondaan keselamatan dengan jumlah pembayaran RM59,520 pada September 2019.

Tertuduh terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita iaitu Pembantu Pertahanan Awam KP19 Mohd Khairul Anuar Maliki, 32, dan Idrus Zakaria, 47, serta Pembantu Pertahanan Awam KP22 Siti Munirah Abdul Rahim, 35, dan Penolong Pegawai Pertahanan Awam KP32 Sahrol Miza Samad, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mereka kini masing-masing bertugas sebagai anggota Rela di daerah Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Alor Setar. 

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh bersama menggunakan dengan niat memperdayakan prinsipal mereka iaitu Rela Kedah suatu dokumen tuntutan iaitu Lampiran A - Pengakuan Baucar Tuntutan Elaun kepada anggota-anggota Rela yang terlibat dengan Tugasan Rondaan Keselamatan sempena bulan Kemerdekaan 2019 daerah Kulim.

Selain itu, dokumen tuntutan terlibat ialah Lampiran B - Daftar Kedatangan Anggota Rela dan Lampiran C - Tuntutan Elaun untuk penugasan rondaan berkenaan, sedangkan mereka mempunyai sebab mempercayai yang kesemua dokumen itu mengandungi butir matan palsu berkenaan jumlah pembayaran RM59,520 apabila tugasan itu tidak dilaksanakan seperti dalam tuntutan tersebut.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Aras 4, Fasa 2B, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Mu’adzam Shah di sini pada 10 September 2019.

Sehubungan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, dan jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Dis depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping manakala keempat-empat tertuduh diwakili Peguam Burhanudeen Abdul Wahid. - Bernama 

Advertisement