Anda di sini

Geran RM35 juta di bawah Bajet 2022 untuk skim penanaman baharu sawit

Advertisement
 

SIMUNJAN: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan geran sebanyak RM35 juta di bawah Bajet 2022 bagi skim penanaman baharu kelapa sawit pekebun kecil, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin (gambar).

Beliau berkata selain peruntukan geran itu, pekebun kecil akan turut diberikan benih klon kelapa sawit berkualiti serta baja bagi membolehkan mereka meningkatkan hasil kebun mereka.

“Kalau dulu semasa kerajaan Pakatan Harapan, geran ini telah ditukarkan kepada pinjaman dan ini telah membebankan pekebun kecil tapi sekarang pekebun kecil boleh menarik nafas lega dan dapat memulakan penanaman baharu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan tapak ‘ramp’ Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) Daerah Serian Berhad dalam Program Jelajah Agrikomoditi Ke Pusat Timbang KPSM Daerah Serian Berhad di Kampung Sabun, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo meminta rakyat di negeri ini supaya meneruskan sokongan mereka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah membuktikan keupayaan mereka untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil sejak 2018.

"Apabila kita mempunyai kerajaan negeri yang stabil, kita mempunyai kerajaan persekutuan yang stabil, ia akan membantu merancakkan program pembangunan dan juga bantuan kepada rakyat. Saya berharap kita dapat terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," tambahnya. - BERNAMA

Advertisement