Anda di sini

Minggu Saham Digital 2021 anjuran PNB memperkasa literasi kewangan melalui program hibur didik

Advertisement

Penganjuran Minggu Saham Digital (MSD) 2021, adaptasi daripada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang berlangsung sejak 17 November lalu terus mencuri tumpuan rakyat Malaysia. Tahun ini, program literasi kewangan yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama 12 Rakan Korporat tampil sepenuhnya secara digital buat kali kedua.

Adaptasi MSAM kepada MSD menjadi bukti bahawa PNB terus berkembang dan mendukung cara baharu yang lebih menarik untuk mendekati pemegang unit dan rakyat negara ini secara umumnya. Selaras dengan transformasi tersebut, MSD 2021 disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan YouTube antara jam 12.30 tengah hari hingga 10.00 malam sejak 17 November dan bakal berakhir pada 23 November nanti.

Acara digital ini merupakan sebahagian usaha berterusan PNB untuk mengukuhkan literasi kewangan dan inisiatif pendidikan kewangan di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun berlangsung di platform digital, program ini mampu meraih penglibatan dan interaksi rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan lapisan masyarakat di seluruh negara.

Pada tahun lalu, MSD berjaya mencapai 7.5 juta capaian unik di laman Facebook rasminya dengan 2.2 juta tontonan terkumpul di laman rasmi MSD iaitu Facebook, saluran YouTube, dan laman web dengan 11.5 juta tayangan (impression). PNB berharap Minggu Saham yang dianjurkan secara digital dapat membantu memperluas jangkauan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Sepanjang tujuh hari ini, rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti, daripada siri forum dan webinar pendidikan, kepada segmen-segmen yang menghiburkan seperti konsert maya. Konsert maya, Pass The Mic menampilkan artis popular seperti Misha Omar, Hazama, Kaka Azraff dan Haqiem Rusli yang akan membuat persembahan secara LIVE pada 20 November 2021, jam 8.30 malam bersama hos Sissy Iman dan Daniel Cheang.

Sarat dengan pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat, seluruh rakyat Malaysia dijemput mengambil bahagian dalam MSD 2021 menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan slogan #laburbersama. Tahun ini, MSD membawakan lebih 70 program hibur didik bertujuan untuk merapatkan jurang literasi kewangan dan mendorong semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan pengetahuan kewangan diri dan keluarga dengan memanfaatkan sumber yang sedia ada.

Program yang telah mula bersiaran termasuklah Bijak Finance, ASB-Iclif MBA Masterclass Series, Santai Bicara Muamalat, Sembang-Sembang ASNB, Roda Labur, dan Raiz Bersama.

Selain daripada itu, meneruskan tradisi daripada MSD 2020, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, membawakan program Jumpa di 118 yang menampilkan pengacara Awal Ashaari. Encik Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Eddin Khoo, Pengasas dan Pengarah PUSAKA, Prof Laurence Loh, Arkitek Konservasi dan Ahli Warisan Budaya diundang sebagai panel jemputan di program tersebut. Mereka berbicara mengenai perkembangan pembinaan ikonik dan memberikan gambaran lebih mendalam berkaitan Merdeka 118, menara yang menghiasi kaki langit Kuala Lumpur sebaik mencapai Tingkat 118 iaitu puncaknya.

Melalui aktiviti Rakan Slots, pelbagai program hibur didik anjuran Rakan Korporat terdiri daripada aspek kewangan, hartanah, penjagaan kesihatan dan hospitaliti dibawakan untuk penonton MSD 2021.

Salah satu program istimewa di MSD 2021 adalah Lalabur, sebuah sketsa komedi yang berkaitan masalah kewangan bertemakan 'Sikit-sikit, bila nak kaya?' bersama selebriti parodi media sosial, Azman Naim berserta barisan pelakon dan pelawak kegemaran seperti Khatijah Tan, Azhan Rani, Nadia Aqilah dan Fikry Ibrahim.

Menerusi segmen Lepak Je! penonton juga akan berpeluang untuk lepak bersama selebriti, personaliti dan influencer seperti Betty Rahmad bersama hos Sissy Iman yang akan mengemukakan cabaran menyeronokkan atau menjawab soalan 'panas'.

MSD tahun ini turut menawarkan hadiah untuk peraduan utama, Jom… Kira Duit, iaitu sebuah kereta Hyundai Kona tajaan Sime Darby Berhad, sebuah kereta Toyota Yaris tajaan UMW Holdings Berhad, sebuah kereta Perodua Ativa tajaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan motosikal Honda Dash 125 tajaan Malaysian Industrial Development Finance Bhd

(MIDF), serta banyak lagi hadiah bernilai lebih RM500,000. Selain itu, para peserta juga berpeluang menangi hadiah e-baucar sebanyak 2,400 melalui cabutan bertuah; dan Live Trivia, di mana setiap satu daripada 19 episod menawarkan 10 penonton peluang untuk memenangi e-baucar.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai peraduan dan jadual lengkap program di laman web MSD 2021, www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.

Advertisement