Anda di sini

Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang platform cungkil bakat baharu

Advertisement
Rodzli (kiri), Ismail (tengah) dan Dr Ong pada Majlis Perasmian Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang PSS-SSC 2021 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini hari ini.
Rodzli (kiri), Ismail (tengah) dan Dr Ong pada Majlis Perasmian Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang PSS-SSC 2021 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini hari ini.

KUCHING: Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) anjuran Persatuan Sepak Takraw (PSS) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dilihat dapat mengenal pasti pemain berbakat di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran kejohanan itu sekali gus dapat membentuk pasukan takraw Sarawak yang lebih mantap.

"Pasukan ini nanti bertujuan bagi menghadapi kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Ini kerana liga ini merupakan kesinambungan khusus buat pemain meneruskan minat mereka terhadap sukan sepak takraw," katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Perasmian Kejohanan Liga KSL PSS-SSC 2021 yang disiar secara maya di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di sini hari ini.

Justeru, jelas Abdul Karim, ini merupakan langkah yang amat sesuai dilaksanakan oleh PSS dan SSC menerusi penganjuran Kejohanan KSL PSS-SSC 2021.

"Kerjasama dilaksanakan dua badan induk (PSS dan SSC) disifatkan sebagai langkah terbaik dalam memajukan sukan sepak takraw di negeri ini.

"Ini sekali gus, penanda aras awal untuk menjadikan negeri Sarawak sebagai kuasa sukan pada masa akan datang," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau percaya saingan yang berlangsung ini memperlihatkan komitmen dua badan induk tersebut memastikan sukan tradisional itu terus mendapat tempat di hati generasi muda.

Sementara itu, Timbalan Presiden PSS Datuk Ismail Abang Saufi berkata, KSL ini merupakan kejohanan yang julung kali diadakan secara liga melibatkan ahli gabungan PSS di seluruh Sarawak  

“Kejohanan ini juga diadakan supaya sepak takraw di Sarawak maju pada tahap yang lebih tinggi, berprestasi dan menjadi acara tahunan di negeri ini,” ujarnya  

Jelasnya lagi, menerusi penganjuran KSL ini diharap dapat menarik lebih ramai peminat sukan takraw di seluruh Sarawak  

“Sehubungan itu, saya juga berharap agar KSL ini berupaya menjadi platform melahirkan jaguh yang boleh diketengahkan mewakili Sarawak dalam beberapa kejohanan berprestasi tinggi,” katanya.  

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee dan Ketua Bahagian Pembangunan SSC Rodzli Hashim.

  • oleh
  • Advertisement