Anda di sini

442 kes baharu COVID-19 di Sabah

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 442 kes baharu COVID-19 hari ini dengan penurunan sebanyak 55 kes berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, secara keseluruhan terdapat pengurangan kes yang didaftar di semua daerah kecuali Kota Belud (+31 kes), Ranau (+21 kes) dan Kinabatangan (+21 kes) yang kembali naik secara mendadak. 

"Malah, Kota Belud mencatat jumlah kes yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 54 kes, diikuti oleh Ranau dengan 51 kes.

"Kota Kinabalu adalah antara daerah yang mencatatkan penurunan ketara hari ini dengan 42 kes (-38), Tuaran (-15), Kota Marudu (-15) dan Penampang (-27)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, statistik harian di Sabah banyak dipengaruhi oleh tahap sikap pematuhan rakyat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, ia boleh dilihat daripada peratusan kes-kes sporadik yang turun naik setiap hari.

"Kes-kes sporadik yang juga dikenali sebagai saringan kes-kes bergejala merupakan 33.3 peratus daripada jumlah kes hari ini. Satu peratusan yang tinggi walaupun kurang sedikit daripada peratusan kelmarin (36.2 peratus).

"Bukan semua kes yang dilaporkan setiap hari berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu. Jumlah kes yang dilaporkan juga termasuk kes-kes jangkitan yang telah berlaku lebih awal daripada tempoh 24 jam yang lalu tetapi keputusan saringan hanya dilaporkan dan dimasukkan dalam statistik semalam," katanya.

Menurutnya, keberkesanan vaksin dibuktikan melalui  statistik harian kategori pesakit. Jumlah mereka yang mengalami gejala serius akibat jangkitan COVID-19 kekal rendah.

Katannya, hari ini cuma seorang pesakit bagi setiap kategori 3, 4 dan 5. Selain daripada 13 kes yang masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. 

"Kes-kes selebihnya (426 kes daripada 442 kes) adalah dalam kategori 1 dan 2. Kategori 1 dan 2 adalah jangkitan yang tidak bergejala atau bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement