Anda di sini

Pemimpin masyarakat perlu tunjuk teladan baik : Robert

Advertisement
 Robert merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli persatuan yang terlibat dalam program itu.
ALBUM: Robert merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli persatuan yang terlibat dalam program itu.


KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik mengingatkan para pemimpin masyarakat khususnya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung supaya proaktif, dengan melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan.


Jelas beliau pemimpin masyarakat perlu menunjukkan teladan baik yang boleh dicontohi dengan terlibat secara langsung dalam program mahupun aktiviti di peringkat akar umbi di kawasan masing-masing.


"Sama ada, ada jemputan ataupun tidak, Pengerusi-Pengerusi JPKK dan Ketua Kampung hendaklah menghadirinya lebih-lebih lagi di kawasan sendiri seperti contoh majlis yang saya hadiri ini.


"Pengerusi JPKK dan Ketua kampung adalah sebahagian daripada penjawat awam. Maka itu, mereka perlu hadir bersama dalam program itu lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan kerajaan, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persatuan Taman ECO Bandukan (Bandukan ECO Park) di Taman Bandukan, Bingkor dekat sini baru-baru ini.


Dalam pada itu, Robert mahu melihat setiap Pengerusi JPKK dan Ketua kampung khususnya di kawasannya supaya memainkan peranan masing-masing dengan memberikan kerjasama serta sokongan terhadap aktiviti dan program yang dilaksanakan.


Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor memberitahu, sebagai pemimpin masyarakat, mereka perlu menunjukkan teladan baik yang boleh dicontohi oleh rakyat di akar umbi.


"Saya tidak mahu melihat dan mendengar ada dalam kalangan Pengerusi JPKK atau Ketua Kampung di kawasan saya yang tidak hadir dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh kerajaan selepas ini.


“Saya berharap pemimpin masyarakat terus komited untuk terus membantu kerajaan dalam menjayakan hala tuju 'Sabah Maju Jaya' yang diilhamkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” jelasnya.


Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat  (UPPM) Bingkor, Fred Junior Vincent Marukau; Pemaju Mukim Bingkor George Dairie; Pemaju Mukim Apin-Apin Dennis Joakim; Ketua Kampung Kg Bandukan Lama Joe Rovok; Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Solidarati Tanah AirKu (STAR) bahagian Bingkor Yazid Mohd Hasnan Tawik Mansai @Charles dan Ketua Wiramuda dan Wiranita STAR bahagian Bingkor.

  • oleh
  • Advertisement