Anda di sini

UCTS raih status universiti penuh, kini dikenali UTS

Advertisement
UTS yang dahulunya dikenali sebagai UCTS telah dianugerahkan status universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
UTS yang dahulunya dikenali sebagai UCTS telah dianugerahkan status universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

SIBU: Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) telah dianugerahkan status universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Sempena pelancaran itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UTS.

Insentif ini ialah Biasiswa Yayasan UTS, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS serta Skim Biasiswa UTS, selain bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak.

Menyentuh mengenai Biasiswa Yayasan UTS, beliau berkata biasiswa itu dibiayai oleh kerajaan Sarawak untuk semua pelajar dan dalam bentuk yuran pengajian berjumlah RM10,000 bagi setiap pelajar.

"Untuk tujuan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta hingga RM7 juta setahun, bergantung kepada bilangan pelajar maksimum 700 orang bagi program asas di UTS," ujarnya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran UTS, hari ini.

Bagi Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS, Abang Johari berkata ia turut dibiayai oleh kerajaan negeri untuk warga Sarawak dengan pengurangan yuran pengajian sebanyak 50 peratus bagi semua program prasiswazah dan pascasiswazah.

Berdasarkan unjuran lima tahun katanya, kerajaan negeri menyumbang antara RM17.2 juta atau RM27 juta setahun, bergantung kepada kapasiti keseluruhan pelajar seramai 4,000 orang.

"Skim Biasiswa UTS pula untuk warga Sarawak kategori B40 dan M40. Skim biasiswa ini adalah hasil kerjasama pihak UTS dan Yayasan Sarawak yang bertujuan untuk membantu warga Sarawak dengan pengurangan 80 peratus yuran pengajian.

"Skim ini akan menampung seramai 100 pelajar Bumiputera dan 100 pelajar bukan Bumiputera setahun," jelasnya sambil menambah ini melibatkan sumbangan atau komitmen kerajaan berjumlah RM3 juta setahun.

Menyentuh mengenai bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak, Abang Johari mengumumkan pinjaman pelajaran tanpa faedah untuk menampung pembelajaran serta kos sara hidup semasa melanjutkan pelajaran di UTS.

"Dengan adanya biasiswa dan insentif kewangan ini, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak di semua peringkat untuk melanjutkan pelajaran ke UTS yang merupakan milik penuh kerajaan negeri Sarawak.

"Inisiatif ini juga akan memberi akses yang lebih besar kepada pendidikan tinggi kepada semua pelajar yang berada di kawasan luar bandar terutama pelajar yang dari kategori B40 dan M40.

"Dengan adanya rombakan dari segi yuran dan sumbangan yang besar dari pihak kerajaan negeri, maka UTS dijangka akan dapat meningkatkan bilangan pelajar sehingga 4,000 pelajar menjelang tahun 2024," ujar beliau.

Pada majlis itu, Abang Johari turut bersetuju dengan penubuhan Datuk Patinggi Tan Sri Wong Soon Kai Research Chair in Medical Devices and Innovation di UTS, dengan geran sebanyak RM2 juta.
  
UCTS ditubuhkan pada 1 April 2013 dan dianugerahkan status universiti penuh pada 8 November 2021 oleh KPT, sebelum ditukar nama kepada UTS.

Sejak ditubuhkan, UTS telah menghasilkan 2,200 graduan dengan mencatatkan purata kadar kebolehpasaran graduan yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 99.1 peratus.

Hadir sama pada majlis ialah Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Teknologi merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTS Dr Annuar Rapaee, Ketua Pengarah KPT Dato Profesor Dr Husaini Omar serta Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.

Advertisement