Anda di sini

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, teruskan keuntungan minggu lepas

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, meneruskan keuntungan yang dicatatkan minggu lepas, didorong oleh permintaan belian berterusan membabitkan kaunter berwajaran tinggi terpilih serta prestasi positif di beberapa bursa serantau yang lain.

Pada 9.55 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 4.09 mata kepada 1,535.28 daripada penutupan Jumaat lepas pada 1,531.73. 

Indeks utama dibuka 2.48 mata lebih tinggi pada 1,534.21.

Pergerakan pasaran secara menyeluruh bagaimanapun menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 349 berbalas 320 sementara 387 kaunter tidak berubah, 1,233 tidak diniagakan dan 27 lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 912.31 juta unti bernilai RM475.94 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini, momentum positif daripada pasaran saham AS yang bergerak rancak selepas didorong oleh pemulihan pasaran kerja dan data positif mengenai COVID-19 seharusnya memberi manfaat kepada bursa tempatan dalam jangka masa panjang.

“FBM KLCI mengakhiri minggu sebelum ini agak baik, dirangsang oleh kegiatan membeli ketika saham berharga murah tetapi sentimen pasaran secara keseluruhan adalah negatif. Kami berpendapat pelabur mungkin memberi perhatian kepada syarikat yang secara asasnya kukuh dengan prospek pendapatan yang cerah menjelang musim pengumuman keputusan kewangan seperti saham teknologi,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB menambah 1.0 sen, masing-masing kepada RM8.02 dan RM5.08 sementara Public Bank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, semuanya tidak berubah pada  RM4.03, RM8.30 dan RM6.58.

Saham-saham aktif pula, Ecomate naik 17 sen kepada 50 sen, NWP Holdings menokok 3.5 sen kepada 35.5 sen, CSH Alliance meningkat 1.0 sen kepada 12.5 sen sementara TA Win lega setengah sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 13.24 mata kepada 11,377.37, Indeks  FBMT 100 lebih tinggi 13.04 mata kepada 11,003.97, Indeks  FBM Emas Syariah menokok 12.65 mata kepada 12,424.39 manakala FBM ACE susut 54.25 mata kepada 7,070.24 dan FBM 70 lemah 45.18 mata kepada 15,067.34.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.38 mata kepada 202.94, Indeks Perladangan naik 26.43 mata kepada 6,753 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 5.59 mata kepada 15,172.47. - Bernama 

Advertisement