Anda di sini

Syarikat perabot besi didakwa, tak bayar dan lewat kemuka penyata cukai

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Sebuah syarikat menjalankan perniagaan membuat, membekal dan memasang perabot besi berpangkalan di Pending, sini, didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan lewat mengemukakan penyata Cukai Jualan Negeri (SST) dan tidak membayar cukai. 

Syarikat tersebut yang diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Salleh Arif Obeng, 58, mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Maris Agan dan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad. 

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 26(5) Akta Cukai Jualan 2018 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 26(9) Akta sama, syarikat tersebut sebagai orang kena cukai telah gagal membayar cukai jualan bagi tempoh 1 November 2018 hingga 31 Disember 2018 dan 1 Julai 2019 hingga 31 Ogos 2019.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukannya masing-masing pada 1 Februari 2019 dan 1 Oktober 2019, di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, di sini.

Sabit kesalahan, syarikat tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat itu juga didakwa atas kesalahan lewat mengemukakan penyata cukai bagi tempoh 1 November 2018 hingga 31 Disember 2018 dan 1 Julai 2019 hingga 31 Ogos 2019. 

Kesalahan tersebut masing-masing didakwa dilakukannya pada 1 Februari 2019 dan 1 Oktober 2019 di tempat sama. 

Dua pertuduhan bagi kesalahan tersebut dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26(7) Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebaik pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan syarikat tersebut diberikan jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya, selain menetapkan pengurusan kes pada 5 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa JKDM Masdi Umar sementara syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement