Anda di sini

Pesakit mental libas pisau di surau LTAKK

Advertisement
 Pasukan polis menenangkan suspek di surau LTAKK.
AMUK: Pasukan polis menenangkan suspek di surau LTAKK.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai menghidap penyakit mental bertindak mengamuk dengan melibas pisau ke arah orang awam yang mahu menunaikan solat di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata seorang anggota polis turut mengalami kecederaan semasa cuba menenangkan suspek dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

“Hasil siasatan mendapati suspek berumur 47 tahun itu sedang memegang sebilah pisau semasa pasukan polis tiba di lokasi sebaik mendapat maklumat kejadian.

“Pasukan polis dan anggota polis bantuan KKIA kemudiannya cuba untuk menenangkan suspek yang berada dalam keadaan agresif,” katanya.

Menurutnya semasa usaha menenangkan dan menangkap suspek itu, salah seorang anggota mengalami kecederaan luka di jari tangan akibat terkena pisau suspek.

“Pasukan polis kemudiannya terpaksa bertindak pantas untuk menahan suspek bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Suspek yang turut mengalami sedikit luka calar di bahagian dagu kemudiannya dibawa ke balai polis KKIA untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya pemeriksaan awal mendapati suspek membawa sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 21 sentimeter bersama sekeping kad orang kurang upaya (OKU) dan kad temujanji Hospital Bukit Padang.

Katanya uspek bertindak agresif kerana dipercayai tidak memakan ubat berikutan menghidap masalah mental.

“Kejadian bagaimanapun tidak membawa sebarang kecederaan yang berlaku kepada orang awam manakala anggota polis yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik di LTAKK.

“Anggota polis terbabit terpaksa menerima dua jahitan di tangan namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement