Anda di sini

Agrobank umum program pembiayaan RM110 juta bantu usahawan tani mikro, PKS

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Agrobank, dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM110 juta bagi menyokong usahawan tani mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Agrobank dalam satu kenyataan semalam berkata dana itu diperuntukkan menerusi kempen pembiayaan yang dinamakan Dana Agromakanan Keluarga Malaysia sempena dengan konsep Keluarga Malaysia.

Katanya dana tersebut diwujudkan bagi memastikan kemampanan sektor pertanian dan industri makanan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah menyerahkan replika cek kempen tersebut kepada Pengerusi Agrobank Datuk Mustapha Buang di ibu pejabat Agrobank baru-baru ini.

Kiandee berkata pelancaran kempen tersebut adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang bertujuan memacu pembangunan dan modenisasi industri agromakanan bagi tempoh 10 tahun yang akan datang dan Agrobank komited untuk menyokong usaha DAN 2.0 ini.

“Ia akan disalurkan melalui dua program pembiayaan Agrobank. Pembiayaan yang pertama ialah  Agromakanan (PENJANA), sebuah program pembiayaan usahawan khusus untuk perusahaan mikro dan kumpulan B40 dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta, menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun.

“Sementara itu, yang kedua ialah Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA), pembiayaan khusus untuk usahawan tani dalam industri makanan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan import dengan peruntukkan dana sebanyak RM60 juta,” katanya.

Dana tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun bagi pembiayaan RM10,000 – RM5 juta dan 4.75 peratus setahun bagi pembiayaan RM5 juta – RM10 juta, jelas Kiandee.

Agrobank akan menawarkan pengecualian fi jaminan untuk kedua-dua dana Agromakanan (PENJANA) dan DPA sepanjang tempoh kempen berkenaan.

Kempen itu sah sehingga keseluruhan dana berjumlah RM110 juta tersebut digunakan sepenuhnya atau sehingga 31 Disember, 2021. - BERNAMA
 

Advertisement