Anda di sini

Sarawak miliki banyak kelebihan tarik pelaburan langsung asing 

Advertisement
Awang Tengah (atas kanan) mewakili Ketua Menteri pada mesyuarat secara maya pada Khamis.
Awang Tengah (atas kanan) mewakili Ketua Menteri pada mesyuarat secara maya pada Khamis.

KUCHING: Sarawak memiliki banyak kekuatan dan kelebihan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. 

Antara kelebihan dimiliki Sarawak lokasinya yang strategik dalam rantau ASEAN, sumber semula jadi yang banyak, kestabilan politik, polisi mesra perniagaan dan kecekapan perkhidmatan awam. 

“Tanah seluas 12.4 juga hektar di Sarawak diberkati dengan sumber semula jadi yang kaya terutamanya minyak dan gas serta tanah bagi pertanian dan hutan semula jadi. 

“Sungai-sungai yang luas di Sarawak juga mempunyai potensi tenaga yang besar untuk menjana 20,000 MW tenaga hidroelektrik. 

“Dengan adanya sumber semula jadi ini, ditambah dengan sumber tenaga hidro yang banyak, Sarawak adalah destinasi menarik bagi industri intensif tenaga dan petrokimia, teknologi tinggi serta hidrogen hijau. 

“Untuk rekod, Sarawak telah menjadi destinasi pelaburan teratas untuk sektor pembuatan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu dan berada di kedudukan kedua dengan nilai pelaburan bernilai RM15.7 bilion,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya mewakili Ketua Menteri sempena Mesyuarat Perundingan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dengan kerajaan dan agensi negeri Sarawak secara maya pada Khamis.  

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menambah bergerak ke hadapan, Sarawak memulakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk mengangkat Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030. 

Bagi mencapai sasaran ini katanya, ekonomi Sarawak  perlu bertumbuh pada purata 6.0 peratus hingga 8.0 peratus setahun sehingga 2030. 

Dalam bidang pertanian katanya, Sarawak mensasarkan menjadi pengeksport makanan tetap menjelang 2030 dan ini akan dapat dicapai menerusi pertanian komersial mengunapakai pertanian moden dan kerjasama global. 

Sarawak katanya juga memfokus kepada eko-pelancongan dan perniagaan acara dalam rantau ASEAN serta mempromosikan pelancongan kesihatan, pelancongan sukan, pelancongan agro dan pelancongan pendidikan bagi memacu sektor pelancongan negeri. 

“Di sektor perhutanan, amalan pengurusan hutan dan pengelolaan akan menumpukan kepada menyeimbangkan kadar penebangan dan pertumbuhan hutan, meningkatkan hasil produk dan meningkatkan perkhidmatan yang diperolehi dari hutan. 

“Manakala di sektor perlombongan, Sarawak menggalakkan lebih banyak aktiviti hilirin bernilai tinggi bukan sahaja bagi minyak dan gas tetapi juga bagi sumber mineral seperti pasir silika dan tanah liat kaolin,” katanya. 

Sarawak menurut Awang Tengah juga telah memainkan peranan aktif dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Katanya Sarawak percaya BIMP-EAGA bergerak pada hala tuju tepat untuk melengkapkan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dengan matlamat mencapai pembangunan ekonomi yang bersepadu dan lestari di rantau ini. 
 

  • oleh
  • Advertisement