Anda di sini

Protes ganas gegar Chile, 2 maut, 450 diberkas

Advertisement

SANTIAGO: Dua orang terbunuh, 56 cedera dan 450 ditahan ketika pergolakan tercetus semasa protes jalanan besar-besaran di Chile untuk memperingati ulang tahun kedua pemberontakan sosial, kata polis kelmarin.

Demonstrasi pada Isnin di seluruh negara adalah untuk menandakan protes Oktober 2019 yang mendorong perubahan politik di negara itu serta membawa kepada permulaan proses untuk menggubal semula perlembagaan era diktator Pinochet.

Seorang lelaki maut akibat terkena tembakan ketika percubaan merompak sebuah kedai manakala seorang wanita meninggal dunia selepas terjatuh dari motosikal di Santiago pada Isnin.

Kebanyakan serangan pada Isnin berlaku di Santiago menyaksikan penunjuk perasaan mendirikan penghadang jalan raya, menyerang sebuah balai polis, dan menjarah kedai serta bangunan awam, menurut laporan polis.

Pihak berkuasa menahan 450 orang di seluruh negara, 279 daripadanya di Santiago, manakala 11 orang awam dan 45 pegawai polis cedera.

“Jumlahnya sangat tinggi,” kata Marcelo Araya, pengarah ketenteraman dan keselamatan pasukan polis Carabineros di Chile.

Ribuan penunjuk perasaan mengerumuni jalan-jalan di 50 lokasi di seluruh negara untuk memperingati ulang tahun protes jalanan yang diketuai oleh pelajar ekoran kenaikan tambang metro.

Kerajaan presiden sayap kanan Sebastian Pinera dicemuh akibat tindak balas kejam daripada pasukan keselamatan, termasuk pelanggaran hak.

Protes berterusan selama empat bulan sehingga penularan wabak COVID-19.

Menurut akhbar tempatan, sekitar 5,000 anggota polis dikerahkan ke seluruh negara untuk mengawal ketenteraman.

Penunjuk perasaan menuntut penjagaan kesihatan sejagat, sekolah percuma dan yang ditambah baik serta pencen yang lebih tinggi.

Demonstrasi itu berlaku pada masa yang sama tatkala perhimpunan konstituen yang dipilih untuk menulis semula perlembagaan memulakan kerja berikutan tempoh 100 hari yang ditetapkan.

Perlembagaan semasa telah dilaksanakan semasa pemerintahan diktator Augusto Pinochet (1973-90) dan merupakan salah satu sasaran utama protes 2019. — AFP

Advertisement