Anda di sini

Program Sentuhan Kasih Tani MAFI sedia pelbagai manfaat

Advertisement

Platform terbaik untuk membantu meningkatkan nilai tambah kehidupan komuniti tani di seluruh negara

 Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada penerima di Kampung Bauto Telupid.
MAFI PRIHATIN: Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada penerima di Kampung Bauto Telupid.

TELUPID: Program Sentuhan Kasih Tani yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Indusri Makanan (MAFI) menyediakan pelbagai manfaat kepada rakyat di seluruh negara dalam meningkatkan nilai tambah kehidupan melalui aktiviti pertanian.

MAFI menjalin kolaborasi strategik bersama jabatan dan agensi di bawahnya dalam melaksanakan program berkenaan bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan persekutuan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Tani membabitkan tiga program penting iaitu Program Kebuniti, Program Pertanian Organik dan MAFI Prihatin.

Menurutnya, menerusi Program Kebuniti, secara keseluruhan sejak 2014 sebanyak RM63.32juta peruntukan yang disediakan MAFI berjaya memanfaatkan seramai 39,608 orang melibatkan 25,775 lokasi di seluruh negara.

Katanya, ia termasuk peruntukan berjumlah RM10juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lepas yang memberi manfaat kepada kira-kira 165,207 orang di seluruh negara.

“Tahun ini, kerajaan turut memberi peruntukan tambahan sebanyak RM30juta selain peruntukan tahunan sebanyak RM4.5juta untuk Program Kebuniti.

”Program Kebuniti mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat bandar dan luar bandar untuk mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran.

“Peruntukan yang disediakan ini disalurkan menerusi bantuan seperti pasu, benih, baja, peralatan tanaman, dan khidmat nasihat,” katanya sempena Program Sentuhan Kasih Tani Bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan di Kampung Bauto di sini, Sabtu lepas.

 Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada penerima di Kampung Bauto Telupid.
MAFI PRIHATIN: Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada penerima di Kampung Bauto Telupid.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan peserta program berkenaan dapat memanfaatkan bantuan untuk meringankan beban keluarga serta mewujudkan peluang pekerjaan ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Ronald berkata, bagi Parlimen Beluran, sebanyak RM1juta peruntukan disediakan untuk Program Kebuniti membabitkan seramai 300 peserta.

Katanya, peruntukan yang disediakan itu diagihkan kepada 37 komuniti tani golongan B40 dari pelbagai kampung di kawasan Telupid, Sugut dan Labuk.

“Di kawasan Beluran, Program Kebuniti ini kita perluaskan bukan sahaja di kawasan pekan, tetapi turut melibatkan lokasi di pinggir pekan dan juga kawasan perkampungan.

“Antara tanaman yang diusahakan peserta termasuklah lada, terung, sayur-sayuran, dan daun sup untuk kegunaan mereka sendiri.

Justeru, mereka tidak perlu membeli sayur memandangkan program ini mendorong peserta untuk berusaha sendiri bagi keperluan makanan masing-masing.

“Jika ada peluang, mereka juga boleh memasarkan tanaman mereka sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi setempat,” jelasnya.

 Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada penerima di Kampung Bauto Telupid.
MAFI PRIHATIN: Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada penerima di Kampung Bauto Telupid.

Salah seorang peserta Program Kebunita Lilian Galansou berkata, pihaknya menerima dana sebanyak RM700,000 membabitkan komuniti tani dari tiga kawasan kampung iaitu Tabiu, Bestaria dan Wonod di sini.

Katanya, antara produk pertanian yang diusahakan termasuklah penanaman nanas, lada, halia dan sayur-sayuran.

“Sebelum ini, tanaman yang dihasilkan hanya untuk kegunaan sendiri sahaja dan dengan adanya dana yang disediakan kerajaan itu, golongan suri rumah turut berpeluang untuk menjana pendapatan.

“Saya juga tidak sangka mendapat peluang baik dan terpilih sebagai salah seorang peserta Program Sentuhan Kasih Tani di daerah ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Menurutnya, bagi kawasan Kampung Tabiu, seramai 10 peserta yang terlibat termasuk tujuh orang suri rumah.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada MAFI atas peruntukan yang disediakan untuk membantu golongan masyarakat yang berpendapatan rendah.

“Sebelum ini, kami pernah dibantu Jabatan Pertanian dengan memberikan tunjuk ajar mengenai cara pertanian dan juga pemberian bibit tanaman,” katanya.

Selain itu, Ronald berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan berjumlah RM50juta kepada MAFI untuk melaksanakan Program Pertanian Organik tahun ini di seluruh negara.

Menurutnya, peruntukan berkenaan disalurkan kepada pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI seperti Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan (DOF), dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan membantu dalam mengeluar dan meningkatkan hasil pertanian ke arah makanan yang selamat untuk dimakan serta mesra alam.

Beliau berkata, DOA menerima peruntukan berjumlah RM10juta dan menyalurkan RM500,000 kepada Jabatan Pertanian Negeri Sabah untuk pelaksanaan Program Pertanian Organik di Sabah.

Menurutnya, di daerah Beluran, sebanyak 27 komuniti dengan penglibatan seramai 83 peserta dengan keluasan 33 hektar tanah menerima manfaat di bawah Program Pertanian Organik.

Dalam pada itu katanya, Program Sentuhan Kasih Tani antara platform terbaik MAFI untuk merasai denyut nadi rakyat dalam membantu kumpulan sasar merasai kesan positif daripada limpahan ekonomi pertanian melalui projek pembangunan berimpak tinggi.

“Saya menyeru kepada para penerima insentif melalui komuniti yang dikenal pasti di Beluran supaya melaksanakan program pertanian dengan sebaik mungkin melalui bimbingan dan nasihat daripada jabatan atau agensi di bawah MAFI dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.

“Usaha ini sekali gus dapat menghasilkan makanan sendiri, selamat, berkualiti dan dapat mengurangkan kos sara hidup selain menjana pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Ronald berkesempatan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto dekat sini yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif MAFI Prihatin ini dijayakan melalui kerjasama Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) dan Persatuan Buah-Buahan Negeri Sabah melalui sumbangan 250 kotak bantuan makanan berupa bahan makanan asas seperti beras, gula, dan tepung untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Samad Jambri, Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian DOA Johari Abdullah, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Bacho Paska, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah Anita Misuari, dan wakil Pegawai Daerah Telupid Nasrul Omar.

  • oleh
  • Advertisement