Anda di sini

Junta Myanmar bebas 5,636 penunjuk perasaan

Advertisement
 

YANGON: Ketua junta Myanmar kelmarin mengumumkan pembebasan lebih 5,000 tahanan yang dipenjara kerana membantah rampasan kuasa Februari, beberapa hari selepas blok serantau mengetepikan regim tentera terbabit.

Sejak rampasan kuasa Myanmar bergolak, dengan lebih 1,100 orang awam terbunuh dan lebih 8,000 ditahan dalam serangan berdarah ke atas pemberontak, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan.

Kini, lebih 7,300 dipenjarakan, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).

Ketua Junta Min Aung Hlaing berkata sejumlah 5,636 tahanan akan dibebaskan bagi menandakan perayaan Thadingyut pada Oktober, tanpa memberi butiran lanjut.

Pengumuman itu dibuat selepas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) memutuskan untuk mengecualikan Min Aung Hlaing dari sidang kemuncak 10-negara ke atas pendekatan pentadbirannya dalam meredakan krisis berdarah itu.

Pada Jun, pihak berkuasa Myanmar membebaskan lebih 2,000 penunjuk perasaan antirampasan dari penjara, termasuk beberapa wartawan yang mengkritik kerajaan tentera itu.

Mereka yang masih dalam tahanan termasuk wartawan Amerika Syarikat Danny Fenster, yang telah dikurung sejak 24 Mei.

Menurut kenyataan junta kelmarin, lebih 1,300 daripada mereka bakal dibebaskan adalah dengan syarat mereka menandatangani perjanjian bahawa mereka tidak mengulangi kesalahan lagi.

Perjanjian sedemikian “pada dasarnya ialah satu bentuk parol yang melibatkan pengawasan berterusan”, kata David Mathieson, penganalisis yang dahulunya berpangkalan di Myanmar.

“Ia tidak melenyapkan keganasan melampau sembilan bulan SAC (Majlis Pentadbiran Negeri, gelaran sendiri oleh junta).”

Menteri-menteri luar dari blok ASEAN telah memutuskan untuk mengecualikan Min Aung Hlaing pada Jumaat, sebaliknya memilih untuk menjemput “wakil bukan politik” untuk Myanmar ke sidang kemuncak 26-28 Oktober.

Junta Myanmar mengecam keputusan itu, menuduh ASEAN melanggar dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal domestik negara anggota.

Myanmar, kebanyakannya diperintah oleh tentera sejak rampasan kuasa 1962, telah menjadi duri dalam ASEAN sejak penyertaannya pada tahun 1997.

Rampasan kuasa tersebut telah menamatkan hubungan sementara Myanmar dengan demokrasi manakala Aung San Suu Kyi yang berusia 76 tahun kini menghadapi tuduhan di mahkamah junta yang boleh mengakibatkannya dipenjarakan selama beberapa dekad.

Minggu lalu, ketua peguam beliau berkata junta telah mengharamkannya daripada bercakap dengan wartawan, diplomat mahupun organisasi antarabangsa.

Peguam lain dalam pasukannya juga menghadapi larangan yang sama, menutup mulut sumber utama untuk maklumat dalam prosiding mahkamah, di mana wartawan turut dihalang. — AFP

Advertisement