Anda di sini

Kerajaan fokus tangani cabaran secara mampan dan strategik

Advertisement
 Juhar (tengah) bersama Hajiji (kanan) dan Mohd Arifin (kiri) merakamkan kenangan bersama penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah Abdul Jamal (dua kiri) dan Zaloha (dua kanan) pada majlis itu.
TOKOH MAULIDUR RASUL: Juhar (tengah) bersama Hajiji (kanan) dan Mohd Arifin (kiri) merakamkan kenangan bersama penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah Abdul Jamal (dua kiri) dan Zaloha (dua kanan) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Perjuangan kerajaan negeri dalam menjaga kesihatan rakyat dan memulihkan ekonomi ketika penularan pandemik COVID-19 penuh dengan cabaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ramai yang tertekan dan risau dengan persekitaran kesihatan serta ekonomi yang masih terumbang-ambing.

Sehubungan itu katanya, banyak usaha dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan di samping mempelbagaikan punca pendapatan rakyat.
 
"Dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sememangnya pembangunan ekonomi negeri dan rakyat menjadi agenda utama kerajaan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M yang dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di sini hari ini.

Hajiji berkata, Maulidur Rasul tahun ini juga membawa Sabah menjejaki ambang perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, (RMK12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lepas.

"Pastinya bukan soal jumlah peruntukan yang kita perolehi, tetapi seboleh mungkin ia akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.

"Justeru, kerajaan negeri merangka pelan pembangunan SMJ bagi mendepani cabaran ini yang berfokus kepada pertumbuhan sektor ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, di peringkat negeri, kerajaan melonggarkan sekatan perjalanan rentas daerah yang berkuat kuasa pada 14 Oktober lalu, manakala rentas negeri bermula pada 1 November ini. 

Sehubungan itu, pihaknya berharap kebenaran itu mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan peluang kepada rakyat untuk hidup seperti dahulu walaupun dalam keadaan norma baharu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Hajiji berkata, masa depan negeri ini terletak kepada keupayaan generasi muda hari ini yang bakal mengemudi dan menjayakan hala tuju negeri.

"Justeru, kekuatan dan potensi golongan muda di negeri ini akan terus diperkasakan. 

"Ini kerana kemajuan dan kecemerlangan ummah tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya memerlukan transformasi minda dan tindakan, komitmen dan perancangan teliti, serta usaha yang bersepadu dan berterusan,” katanya.

Menyentuh konsep Keluarga Malaysia, beliau berkata, seluruh rakyat harus bertoleransi, saling menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik. 

Menurutnya, perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini adalah sumber kekuatan negeri ini dan perlu dipertahankan berasaskan prinsip rukun negara.

"Sabah sudah lama menjadi contoh terbaik dalam keharmonian rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. 

"Kita adalah contoh kepada konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri," katanya.

Selain itu katanya, tahun ini adalah kali kedua Maulidur Rasul tidak diraikan secara tradisi dengan perhimpunan besar-besaran dan berarak, disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. 

Bagaimanapun beliau berkata, pandemik ini tidak menghalang semangat serta hasrat umat Islam untuk menyemarakkan majlis Maulidur Rasul yang cukup signifikan ini.

"Sunnah yang ditinggalkannya menjadi pedoman dalam kehidupan pelengkap keimanan seseorang Islam," katanya.

Pada majlis itu, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M kategori lelaki disampaikan kepada Datuk Abdul Jamal Tun Sakaran dan Zaloha Ahmad bagi kategori wanita. 

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
 

  • oleh
  • Advertisement