Anda di sini

Tiada kes pecah rumah di Vista Perdana Fasa 2 setakat 12 Oktober 

Advertisement
 

MIRI: Tiada sebarang laporan melibatkan kes pecah rumah di kawasan Vista Perdana Fasa 2, di sini diterima polis sepanjang tempoh Januari sehingga 12 Oktober 2021.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari (gambar) berkata semakan pihaknya ini menyangkal dakwaan dikeluarkan sebuah portal media berbahasa Cina tempatan bertarikh 10 Oktober lepas yang mengatakan kes kecurian sering berlaku di kawasan tersebut. 

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh portal media tersebut adalah tidak tepat dalam menggambarkan keadaan sebenar kadar jenayah di kawasan tersebut. 

"Justeru itu, satu pertemuan diadakan bersama Datuk Bandar Miri, Adam Yii pada 11 Oktober lalu bagi menjelaskan situasi dan laporan yang sebenar berkaitan isu ini kerana ianya menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menganggu gugat ketenteraman orang awam," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini. 

Hakemal berkata kenyataan media yang kurang tepat tersebut adalah merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. 

"Sebarang kenyataan media yang dikeluarkan hendaklah menggambarkan keadaan sebenar supaya ianya tidak menimbulkan sebarang ketakutan yang boleh mengakibatkan masyarakat tempatan berasa tidak selamat," ujarnya. 

Dalam pada itu, Hakemal menjelaskan berpandukan kepada keseluruhan sistem laporan polis melibatkan kes jenayah harta benda iaitu pecah rumah, curi kenderaan dan lain-lain di seluruh daerah Miri merangkumi Bekenu dan Batu Niah dari Januari hingga September 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2020. 

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) Miri sentiasa memberi perhatian yang khusus mengenai kes jenayah di daerah ini dan pihak PDRM sentiasa berusaha untuk menyelesaikan laporan yang diterima berkenaan aktiviti jenayah. 

"Antara usaha-usaha yang diambil oleh PDRM Miri dalam menangani isu jenayah dengan melancarkan beberapa siri operasi seperti Op Bersepadu, Op Lejang, Op Pintu dan Op Lusuh serta mempertingkatkan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kadar jenayah di daerah Miri terkawal," katanya. 

Oleh itu, beliau menggalakkan masyarakat Miri untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah yang berlaku kepada pihak polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pelaku agar ketenteraman dan keselamatan masyarakat terjaga. 
 

  • oleh
  • Advertisement