Anda di sini

COVID-19: Sarawak rekod 1,165 kes, 13 kematian baharu

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak merekodkan 1,165 kes baharu COVID-19 dengan 98.71 peratus atau 1,150 kes adalah kategori satu dan dua.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi laporan hari ini berkata, sementara 15 kes atau 1.29 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, bagi peratusan daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 29.44 peratus atau 343 kes adalah kategori 1 (tiada gejala) sementara 807 kes atau 69.27 peratus adalah kategori dua, manakala dua kes atau 0.17 peratus kategori tiga (jangkitan paru-paru), sembilan kes atau 0.77 peratus adalah kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan empat kes atau 0.34 peratus adalah kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

"Dengan kes baharu itu ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak setakat ini meningkat kepada 227,675 kes.

"Daerah Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu 257 kes diikuti Miri (211) dan Sibu (128)," katanya.

JPBNS memaklumkan sementara itu hampir semua daerah yang turut merekodkan kes iaitu di bawah 100, kecuali Tanjung Manis tidak merekodkan kes hari ini.

Jawatankuasa memaklumkan Sarawak merekodkan 13 lagi kematian baharu yang dicatatkan dari tarikh 4 Oktober hingga 12 Oktober 2021.

"Kes kematian melibatkan mereka berusia antara 42 tahun hingga 78 tahun dan kesemuanya mempunyai latar belakang penyakit komorbid.

"Kematian berkenaan direkodkan di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Sarikei, Sibu dan Sri Aman," katanya.

Manakala selain tu, tiga kluster baharu direkodkan hari ini iaitu dua di Limbang dan satu di Subis.

Di Limbang, Kluster Menuang, iaitu kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk dan pengunjung sebuah rumah panjang yang terletak di kawasan Menuang.

Katanya daripada 83 orang disaring 18 orang didapati positif termasuk kes indeks manakala 65 individu didapati negatif dan satu kes baharu dilaporkan pada hari ini.

"Satu lagi kluster di Limbang, Kluster Ensurai iaitu kluster komuniti dikesan melibatkan penduduk dan pengunjung sebuah rumah panjang yang terletak di kawasan Ensurai, Medamit. 

"Daripada 220 orang yang disaring, 19 orang didapati positif termasuk kes indeks, 201 individu didapati negatif dan dua kes baharu dilaporkan pada hari ini," katanya.

Di Subis kluster yang diisytiharkan, Kluster DTI Bekenu iaitu melibatkan depo tahanan yang  dikesan melibatkan tahanan sebuah Depo Tahanan Imigresen di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak di Bekenu, Jalan Coastal Bintulu-Miri, Subis. 

JPBNS berkata, daripada 48 orang disaring, 48 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 44 kes baharu dilaporkan pada hari ini.
 

  • oleh
  • Advertisement