Anda di sini

Pekerja hilang enam hari ditemukan tergantung di pokok

Advertisement
 Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
MAUT: Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

TENOM: Kehilangan seorang pekerja warga asing selama enam hari terjawab apabila mangsa ditemukan tergantung pada pokok di tapak pembinaan empangan di Kemabong di sini.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata mangsa yang juga warga China itu dikenalpasti sebagai Yang MingZhing, 37 adalah pekerja mahir dalam membuat penggerudian terowong.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dilihat kali terakhir oleh rakan sebiliknya semasa mangsa memberitahu ingin keluar mencari kawasan yang mempunyai liputan talian telefon.

“Mangsa bagaimanapun tidak balik ke bilik mereka sehingga jam 6 petang sebelum rakan sebiliknya itu memaklumkan kepada pihak pengurusan syarikat sebelum membuat laporan polis pada 2 Oktober lalu,” katanya sambil menambah mangsa memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek semasa keluar.

Beliau berkata bertindak dengan laporan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bersama beberapa agensi termasuk pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tenom, Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan keseluruhan keanggotaan seramai 54 orang.

“Pasukan SAR kemudiannya berjaya menemukan mayat lelaki dalam keadaan reput tergantung pada pokok berhampiran kawasan berkenaan kira-kira jam10.30 pagi kelmarin iaitu pada hari ke enam SAR dijalankan.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia selema beberapa hari berdasarkan keadaan mayat berkenaan semasa ditemukan dan melihat kepada pakaian mangsa menunjukkan mayat terbabit adalah mangsa yang dilaporkan hilang,” katanya.

Tambahnya mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR).

  • oleh
  • Advertisement