Anda di sini

Abdul Kassim bidas kenyataan pemimpin UMNO Tuaran

Advertisement
ABDUL KASSIM
ABDUL KASSIM

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran, Datuk Abdul Kassim Razali menyelar kenyataan seorang pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa ramai dalam kalangan ahli UMNO khasnya di Tuaran telah diambil menjadi ahli parti lain tanpa disedari.

“Katanya (Datuk Abdul Rahman Dahlan) dalam satu perkongsian di laman Facebook beliau, ahli UMNO itu diambil sebagai ahli parti oleh parti lain (mungkin merujuk kepada BERSATU) tanpa mereka sedar, melalui penyalahgunaan butiran peribadi tanpa kerelaan mereka dan sebagainya.

“Logikkah pihak lain untuk ambil data peribadi seseorang dan menggunakannya bagi mendaftar keahlian parti lain secara tidak sukarela individu lainnya?,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, fungsi dan kematangan politik masa kini adalah terletak kepada kematangan pemikiran pemimpin.

“Bukan main taktik kotor, menuduh tanpa bukti dan tidak berasas, tiada siapa yang mengambil atau mencuri butir peribadi sesiapa, semua itu propaganda semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kassim turut menegaskan bahawa keutuhan kerajaan masa kini adalah keutuhan dan kesatuan yang dibentuk berdasarkan persetujuan serta kata sepakat semua pihak yang terlibat.

“Janganlah cuba mengadu domba dan tidak ada isu tetapi sengaja membangkitkan isu," katanya.

Beliau meminta kepada semua pihak untuk berganding bahu bagi memfokuskan kepada agenda pembangunan negeri terutamanya pada masa kritikal pasca COVID-19.

“Ada baiknya fokus untuk bantu rakyat dan negeri kita bangkit semula selepas berdepan musibah dan cabaran era pandemik COVID19, daripada bersandiwara politik,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement